suria

200 Anggota Tentera di Kg Tanduo Undi Pos

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ketika membuang undi pos sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Kampung Tanduo di Lahad Datu pada Sabtu. -Foto BERNAMA
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ketika membuang undi pos sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Kampung Tanduo di Lahad Datu pada Sabtu.
-Foto BERNAMA
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ketika membuang undi pos sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Kampung Tanduo di Lahad Datu pada Sabtu. -Foto BERNAMA

LAHAD DATU: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin antara 200 anggota ATM yang mengundi secara pos di Kampung Tanduo, kira-kira 160 kilometer dari sini, iaitu satu daripada kawasan Operasi Daulat.

Zulkifeli berkata proses membuang undi di sini memberi makna besar kepada ATM selepas pasukan keselamatan negara menguasai semula kawasan itu yang diduduki pengganas dari selatan Filipina apabila menceroboh masuk ke Malaysia melalui kampung berkenaan pada Februari lepas.

"Di sinilah kita lancarkan serangan ofensif untuk memusnah dan menyingkirkan musuh dari tanah air kita untuk memastikan kedaulatan kita terpelihara, dan kita terus berada di sini kerana ini satu lokasi yang agak istimewa kepada ATM," katanya kepada pemberita selepas membuang undi di Markas Taktikal 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diwujud di kampung berkenaan.

Beliau memulakan pengundian pada 9.30 pagi bersama Panglima Angkatan Bersama Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar.

Katanya, seramai 3,500 anggota tentera yang bertugas di kawasan Operasi Daulat di Lahad Datu, Semporna, Sandakan dan Tawau terlibat sebagai pengundi pos sejak semalam hingga esok.

Zulkefli berkata daripada jumlah itu, seramai 2,280 anggota tentera di Felda Sahabat di sini mengundi di enam pusat undi pos yang dibuka secara berperingkat. Sementara itu, anggota Markas Taktikal 21 RAMD Sarjan Mohd Kamarudin Kasim, 33, berkata beliau bangga kerana berpeluang mengundi meskipun sedang bertugas menjaga kawalan keselamatan.

"Ini merupakan kali pertama mengundi secara pos dan pengalaman pertama dalam menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, iaitu mengundi di kawasan yang sebelum ini menjadi kubu pengganas. Ini pengalaman yang cukup bermakna," katanya yang sudah berkhidmat dengan ATM selama 15 tahun.

Beliau berkata perbezaan mengundi di lokasi operasi dengan di dalam kem ternyata berbeza, meskipun prosedurnya sama.

"Mengundi di kem di sini berbeza berbanding sebelum ini kerana memakai pakaian seragam biasa. Tetapi di sini, pakai kelengkapan perang dengan baju kalis peluru dan bersenjata," katanya yang bertugas dalam Operasi Daulat sejak dua bulan lepas.

Mejar Shahrul Hesham, 34, pula berkata pengalaman pertama mengundi di medan operasi membawa makna istimewa kepada beliau.

"Keadaan memang berbeza kerana sebelum ini mengundi di dalam dewan dan boleh tengok suasana meriah dengan pelbagai poster dan bendera.

"Namun dalam serba kekurangan ini, proses pengundian tetap berjalan mengikut prosedur sama dengan proses pengundian diselia Pegawai Yang Bertanggungjawab (PYB) undi pos tentera," katanya sudah yang bertugas selama dua bulan di Tanduo.

Beliau berkata undi pos tentera tidak perlu diragui kerana dilaksana secara telus. Pengundian pos turut diadakan di Kampung Tanjung Batu, iaitu satu daripada kawasan Operasi Daulat pada 12 tengah hari, yang melibatkan 71 anggota. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain