suria

Anwar Tiada Modal, Guna Isu Lama Raih Sokongan Rakyat

MELAKA: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah ketandusan modal untuk meraih sokongan rakyat di Melaka sehingga berjanji untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, perkara yang sememangnya termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata sebagai rakyat Malaysia, Anwar seharusnya tahu bahawa bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

"Anwar dah tak ada modal, kita (kerajaan BN) dah lama perkasa bahasa Malaysia, tak kan dia tak tahu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan bantuan 1Azam dan cermin mata bagi Parlimen Bukit Katil di sini Rabu.

Beliau mengulas kenyataan Anwar bahawa pembangkang berjanji akan menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi di negara ini ketika menyampaikan ceramah di Taman Dato' Latiff Tamby Chik Karim, Batu Berendam di sini Selasa.

Mohd Ali turut mempersoalkan perkara yang hendak diperjuangkan oleh Anwar mengenai penguasaan bahasa Malaysia di negara ini kerana sudah jelas rakyat Malaysia pelbagai kaum telahpun menguasai bahasa itu.

Terdahulu, seramai 40 penduduk di sekitar parlimen itu menerima bantuan berbentuk barangan keperluan perniagaan daripada pakej 1Azam yang meliputi Azam kerja; Azam Khidmat; Azam Tani; dan Azam Niaga manakala 42 penduduk menerima bantuan cermin mata disampaikan Timbalan Pengerusi Yayasan Melaka Datuk Tahir Hassan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain