suria

Tian Chua Tidak Sensitif, Politikkan Tragedi - Tun Abdullah

KEPALA BATAS: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua sebagai tidak sensitif sehingga sanggup mempolitikkan tragedi.

Katanya perbuatan Tian Chua mengaitkan insiden di Lahad Datu, Sabah sebagai konspirasi Umno, jelas menunjukkan pembangkang semakin terdesak sehingga mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal.

"Ini semua 'rubbish' (mengarut) dan bohong, mereka ini nampaknya sudah tidak ada modal sehingga isu serius seperti ini pun hendak dijadikan modal politik. Memang mengarut dan tidak berasas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Futsal Komuniti 1Malaysia 2013, di sini Sabtu.

Beliau mengulas laporan akhbar yang antara lain menyebut Tian Chua berkata kejadian pencerobohan di Lahad Datu itu adalah konspirasi kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat serta mengalih pandangan berhubung isu pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah.

Semalam berlaku insiden tembak-menembak antara pasukan keselamatan negara dan kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo itu yang mengorbankan dua anggota komando polis VAT 69 dan mencederakan tiga lagi anggota pasukan keselamatan negara. Mengulas lanjut, Abdullah berkata beliau juga tidak faham dengan sikap pembangkang sekarang yang mengaitkan semua perkara dengan politik.

"Berhentilah (mengeluarkan kenyataan mengarut), ini adalah isu serius dan insiden ini meragut nyawa dua anggota keselamatan negara," katanya.

Abdullah turut meluahkan rasa sedih dengan kejadian itu dan mengucapkan takziah kepada balu kedua-dua anggota polis yang terkorban.

Sementara itu di PORT DICKSON, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Tian Chua bermuhasabah selain bertanya kepada pemimpin atasan PKR mengenai laporan media Filipina yang mendakwa pemimpin pembangkang dalang di sebalik kejadian di Lahad Datu.

"Saya tidak mahu memberi sebarang komen sama ada kita setuju atau tidak mengenai laporan itu. (Tapi) saya harap pemimpin-pemimpin berkenaan 'meludahlah ke langit', 'tepuklah air di dulang'. Itu saja jawapan saya," katanya kepada pemberita. Akhbar The Manila Times bertarikh 16 Februari melaporkan pencerobohan itu berlaku setelah bekas pemimpin Malaysia yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan Sabah diberi autonomi kepada pemerintahan Kesultanan Sulu.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kenyataan Tian Chua tidak masuk akal dan tidak seharusnya diterima rakyat.

Ini soal keselamatan negara, tidak boleh dianggap sebagai konspirasi, katanya.

Di PETALING JAYA, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan perbuatan pembangkang itu sebagai tidak berperikemanusiaan.

"Mereka mencemuh apa yang telah dilakukan oleh pasukan keselamatan kita, ini satu sikap tidak berperikemanusiaan, sudahlah tidak berterima kasih malah diejek," katanya ketika ditemui pemberita semasa hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah dua anggota komando polis VAT 69 di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, di sini.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika ditemui pemberita pada majlis sama cuba berdolak-dalik dengan kenyataan yang dikeluarkan pakatan pembangkang.

"Kenyataan itu tidak tahu betul atau tidak. kenyataan itu tidak menjadi perkara yang utama dalam usaha memberi penghormatan terakhir hari ini," katanya.

Khalid merupakan satu-satunya pemimpin pakatan pembangkang yang hadir di Pangkalan TUDM Subang itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah dua anggota polis berkenaan.

Di GURUN, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata ketika menghadapi tragedi seperti di Lahad Datu, seluruh rakyat Malaysia sepatutnya bersatu memberi semangat kepada pasukan keselamatan untuk mempertahankan negara.

"Kita patut rasa sebahagian dari mereka tetapi ada ungkapan yang tidak wajar seakan hilang semangat sayangkan dan pertahankan negara," katanya mengulas kenyataan Tian Chua.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga dua anggota polis yang terkorban serta meminta seluruh umat Islam mengadakan solat hajat, memohon agar isu di Lahad Datu itu selesai secara baik. Sementara itu di KOTA BAHARU, Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Kelantan menggesa pembangkang tidak mempolitikkan isu pencerobohan di Lahad Datu untuk kepentingan politik mereka.

Yang Dipertuanya, Datuk Mohamad bin Ghani berkata demi menjaga keselamatan rakyat dan negara, rakyat harus menolak perbuatan pemimpin pembangkang yang mengambil kesempatan mempolitikkan isu itu. "Insiden yang berlaku itu tidak harus dipolitikkan oleh parti pembangkang yang mendakwa kononnya ia sengaja diada-adakan oleh Umno untuk mengubah perhatian rakyat terhadap isu lain," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Mohamad yang juga bekas presiden PBTM Malaysia, berkata kejadian ini adalah sesuatu yang amat serius sehingga dua anggota keselamatan terkorban dan pembangkang tidak harus mempersendakannya.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua anggota pasukan keselamatan yang terkorban itu, beliau berharap semua rakyat bersatu padu tanpa mengira fahaman politik dalam mempertahankan keselamatan negara. Di KUALA LUMPUR, kenyataan Tian Chua turut dibidas Anggota Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Yahaya Mat Ghani yang berkata kelibat Anggota Parlimen Batu itu hanya kelihatan di kawasan parlimen berkenaan pada pilihan raya umum ke-12 lalu dan kemudian lesap membiarkan masalah setempat diselesaikan DBKL.

"Baru-baru ini Tian Chua dilihat kembali dan mula aktif memberi ceramah kerana dia tahu pilihan raya umum yang ke-13 akan berlaku pada bila-bila masa sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kenali Jiran Kita anjuran Jabatan Penerangan Malaysia di flat Seri Perak, Sentul di sini.

Beliau memberi contoh isu Flat Seri Negeri Sembilan yang diapi-apikan pembangkang kononnya DBKL mahu meruntuhkan flat itu.

"Akhirnya isu diselesaikan sendiri oleh wakil pemimpin Barisan Nasional (BN) dan DBKL, kesemua penduduk di situ mendapat surat tawaran untuk membeli flat tersebut.

Tian Chua sebagai wakil rakyat tidak berbuat apa-apa sedangkan beliau patut tahu DBKL terbuka untuk rundingan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain