suria

Murtad: Izzah Jumpa Jais

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin bagi membuat aduan mengenai kenyataan kontroversinya berhubung hak kebebasan beragama di negara ini.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, aduan kepada pihak berkuasa agama tersebut dibuat selepas akhbar Utusan Malaysia mencetuskan polemik dan perdebatan berdasarkan kenyataannya yang didakwa dimanipulasikan.

"Tidak ada masalah, saya sudah berhubung dengan Pengarah Jais, esok pukul 11 pagi saya akan ke sana untuk mengemukakan aduan terhadap laporan yang menyerang dan memfitnah saya," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Khamis.

Menurut Izzah, segala polemik dan perdebatan yang berlaku bukan berdasarkan kenyataan sebenarnya.

"Segala dakwaan yang disebut itu hanya berasaskan laporan Utusan dan bukannya daripada saya sendiri," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan turut menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan mengenai perkara tersebut, Nurul Izzah berkata: "Saya tidak dapat maklumat."

Media sebelum ini melaporkan bahawa Sultan Selangor terkejut dengan kenyataan Nurul Izzah yang dikeluarkan dalam satu forum "Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab" di Subang Jaya, Sabtu lepas, bahawa orang Melayu Islam bebas memilih agama di bawah faktor kebebasan beragama.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dilaporkan berkata, Sultan Selangor menolak sama sekali sebarang pandangan daripada mana-mana pihak bahawa orang Melayu beragama Islam mempunyai kebebasan untuk memilih agama lain dan keluar daripada Islam.

Sabtu lalu, pada forum 'Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab', Nurul Izzah dilaporkan menegaskan bahawa setiap rakyat di dalam negara ini tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama-agama tertentu.

Kenyataannya itu dilaporkan portal berita berbahasa Inggeris yang menyatakan bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan ia juga terpakai secara sama rata kepada orang Melayu.

Lebih kontroversi apabila ahkbar Utusan Malaysia kemudiannya memetik dan menyiarkan semua kenyataan Nurul Izzah pada Isnin.

Bagaimanapun selepas dikritik pelbagai pihak, Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa beliau menyokong gejala murtad.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain