suria

Britain Permudahkan Syarat Visa Pelajar

PETALING JAYA: Britain bersetuju untuk mempermudahkan syarat permohonan visa pelajar bagi rakyat Malaysia yang ingin menyambung pengajian di negara itu dengan mereka tidak perlu mengemukakan dokumen penyata kewangan dan kelayakan akademik.

Pesuruhjaya Tinggi Britain, Simon Featherstone berkata Malaysia telah disenaraikan sebagai negara berisiko rendah bagi mereka yang memohon visa pelajar, Tier 4.

"Ini bermakna kami menguatkuasakan perkara ini kepada pelajar Malaysia bermula 1 Oktober (Isnin) bagi memudahkan proses permonohan visa pelajar dan ini akan memudahkan mereka yang ingin belajar di Britain," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Featherstone berkata, pelajar Malaysia telah menyumbang kepada ekonomi Brutaun dan menjadikan system pendidikan salah satu yang terbaik di dunia.

"Oleh itu, kami gembira untuk mengumumkan konsesi ini, dengan memberi pengiktirafan negara risiko rendah untuk mereka ketika berhadapan dengan sistem imigresen Britain," ujarnya.

Hanya sebilangan kecil negara yang tersenarai seperti Korea Selatan, Jepun, Kanada dan Amerika Syarikat dimana negara-negara terbabit telah menunjukkan tahap pematuhan imigresen paling baik.

Bagaimanapun, hanya proses permohonan visa pelajar untuk mereka yang menuntut di universiti di Britain yang memiliki status ‘Highly Trusted Sponsor’ sahaja akan diberikan.

Bagi mereka yang memohon untuk belajar di universiti lain yang tidak memiliki status tersebut masih perlu mengemukakan semua dokumen dalam permohonan masing-masing.

Menurut laman web, The United Kingdom (UK) Border Agency, HTS adalah lesen yang diberikan kepada universiti untuk menaja visa kepada pelajar antarabangsa di luar Kesatuan Eropah.

Sebelum ini, garis panduan agensi berkenaan menghendaki semua permohonan menyertakan penyata bank dan surat pengesahan yang memaklumkan pelajar berkenaan mempunyai jumlah wang yang mencukupi untuk membayar yuran pengajian dan kos sara hidup untuk satu tempoh masa.

Mereka juga perlu membuktikan wang tersebut akan sudah berada dalam akaun mereka dalam tempoh 28 hari sebelum tarikh permohonan.

Apabila proses permohonan dipermudahkan, UKBA turut mengingatkan mereka yang telah membuat permohonan sebelum hari Isnin ini perlu menyediakan dokumen sokongan yang diperlukan.

Suruhanjaya itu turut mengumumkan bahawa keputusan UKBA membenarkan pelajar yang benar-benar tulen terutamanya mereka yang sedang menjalani kursus di London Metropolitan University (LMU) sehingga selesai atau penghujung tahun akademik, yang mana tiba dahulu.

Pelajar-pelajar yang tinggal di Britain secara haram dan mereka yang tidak memenuhi kriterian imigresen tidak akan dibenarkan tingal. Katanya.

Enam pelajar Malaysia yang masih menuntut di LMU terjejas dan berdepan kemungkinan diusir selepas lesen visa institusi pengajian tinggi mereka dibatalkan.

Untuk maklumat lanjut mengenai LMU, pelajar boleh melayari laman web UKBA di http://www.ukba.homeoffice.gov.uk / sitecontent / newsfragments / 72-LMU-student-page

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain