suria

Pusat Santuri Penyu Cherating Perlu Dana

KUALA LUMPUR: Pusat Penerangan dan Santuari Penyu di Cherating, Pahang memerlukan lebih banyak dana bagi melakukan kerja-kerja penambahbaikan di pusat itu bagi mengelakkan jumlah penyu yang mendarat saban tahun di pantai Cherating daripada berkurangan.

Petua Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Cherating, Abdul Karim Mohd Sham berkata untuk sementara waktu, pusat itu dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu kolam memerhati penyu, tapak penetasan dan tempat penyu bertelur yang diwartakan sepanjang 3.5km di pantai Cherating. Beliau berkata bagi usaha penambaikan, pihaknya bercadang membina ruang pejalan kaki khas, tempat rehat dan berteduh kepada orang ramai yang hendak menyaksikan penyu bertelur.

"Dengan adanya jalan khas serta rumah rehat yang kita cadangkan itu, orang ramai tidak akan mengganggu penyu yang sedang bertelur kerana tanpa gangguan akan menggalakkan lebih banyak penyu betina mendarat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat itu baru-baru ini.

Karim berkata kolam tempat melihat penyu juga perlu dipagar dan pagar yang sedia ada telah rosak dan perlu dibaiki segera bagi mengelak pengunjung daripada berada terlalu dekat dengan penyu ketika bertelur.

Beliau berkata gangguan terhadap penyu ketika sedang dalam proses bertelur boleh menyebabkan haiwan itu tidak lagi kembali ke pantai Cherating.

Namun begitu, katanya, semua itu tidak boleh dilakukan berikutan peruntukan yang ada terlalu terhad, hanya cukup untuk menampung gaji pekerja dan perbelanjaan harian pusat itu.

"Peruntukan RM200,000 setahun termasuk RM100,000 dari kerajaan negeri memang tidak mencukupi. Kita merupakan satu-satunya pusat yang menjalankan dua tugas serentak iaitu mendidik dan memastikan penyu terus terpelihara.

"Kita berharap, pihak tertentu terutama kerajaan negeri dapat menambah peruntukan sedia ada memandangkan pusat itu kini menjadi sebahagian daripada kawasan tarikan pelancong ke negeri Pahang.

"Setiap tahun lebih 50,000 pelancong termasuk 10,000 pelancong luar negara datang ke pusat itu untuk menyaksikan penyu bertelur di samping mempelajari tabiat penyu," katanya.

Beliau berkata pusat santuari penyu yang dibina di kawasan seluas 0.33 hektar kini menjadi tempat pembiakan dan penetasan anak-anak penyu di mana kerajaan negeri Pahang mewartakan pantai sepanjang 3.5km dari pusat santuari ke Kelab Mediteranean sebagai tempat pelindungan penyu bertelur.

Abdul Karim berkata, dua jenis penyu yang mendarat untuk bertelur di pantai Cherating ialah Penyu Agar dan Penyu Karah di mana pada Julai lepas 186 ekor Penyu Agar mendarat untuk bertelur berbanding 176 ekor dalam tempoh masa yang sama tahun lepas manakala Penyu Karah cuma seekor yang mendarat dan bertelur.

Mengenai masalah kepupusan penyu, beliau berkata dua punca utama fenomena itu ialah perubahan cuaca dan gangguan manusia. Abdul Karim berkata, suhu memainkan peranan penting dalam menentukan jantina penyu yang ditetaskan.

Katanya, dalam suhu antara 30 hingga 34 darjah celsius untuk tempoh masa yang lama, anak penyu betina akan menetas manakala pada suhu antara 24 hingga 29 darjah celsius penyu jantan akan menetas.

Justeru, suhu lebih panas dan hujan yang agak tinggi sejak 20 tahun lepas menyebabkan lebih banyak anak penyu betina ditetaskan berbanding anak penyu jantan dan keadaan ini boleh menyebabkan bilangan penyu berkurangan kerana tidak cukup penyu jantan.

Abdul Karim berkata perbuatan manusia terutama golongan nelayan boleh diklasifikasikan sebagai penyebab utama kepupusan penyu.

"Mereka membunuh penyu yang disifatkan sebagai mengganggu kerja mereka di laut," katanya sambil menambah kebanyakan penyu yang dibunuh itu adalah penyu dewasa yang sudah sedia untuk bertelur.

Beliau berkata perbuatan pihak tertentu yang suka mengganggu penyu ketika sedang bertelur dan mengambil telur penyu itu untuk dijual juga boleh menyebabkan jumlah penyu yang mendarat untuk bertelur berkurangan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain