suria

Emporium Musnah Dalam Kebakaran Di Melaka

Jentera Bomba dan Penyelamat berusaha memadamkan kebakaran sebuah panggung wayang lama berusia lebih 100 tahun yang musnah dalam satu kebakaran di Jalan Kee Ann Bunga Raya di sini, awal Selasa. Kebakaran tersebut turut memusnahkan 10 gerai buah-buahan dan dua gerai makanan yang terdapat di luar bangunan setingkat itu. -fotoBERNAMA

MELAKA: Sebuah panggung wayang lama berusia lebih 100 tahun yang kini beroperasi sebagai emporium musnah dalam satu kebakaran di Jalan Kee Ann Bunga Raya di sini malam Isnin.

Kebakaran tersebut turut memusnahkan 10 gerai buah-buahan dan dua gerai makanan yang terdapat di luar bangunan setingkat itu.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Melaka Lokman Hakim Sulaiman berkata pihaknya menerima panggilan pada 11.58 malam dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudian dengan 47 anggota dan lapan jentera dari balai bomba Ayer Keroh, Bukit Katil dan Jalan Kubu.

"Api dalam keadaan marak ketika bomba sampai dan sebahagian dinding bangunan yang retak runtuh ketika semburan air dilakukan disebabkan terlalu panas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata api berjaya dikawal sepenuhnya pada 1.26 pagi menggunakan dua sumber air dari Sungai Melaka dan pili bomba berhampiran.

Katanya punca kebakaran belum dikenal pasti namun ia dipercayai bermula dari kawasan hadapan bangunan tersebut.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang meninjau tempat kejadian berkata kerajaan negeri akan menyediakan tempat perniagaan sementara kepada peniaga terlibat.

Beliau berkata Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan merekod dan membuat laporan jumlah kerugian yang dialami perniaga agar sumbangan dapat disalurkan dengan segera.

Katanya MBMB juga diharap dapat mempercepatkan kerja membaik pulih bangunan tersebut kerana ia merupakan lokasi tumpuan ramai mencari barangan keperluan terutamanya ketika musim perayaan. - BERNAMA

Artikel Lain