suria

Cif Inspektor Dipecat Boleh Kembali Bertugas - Mahkamah

PUTRAJAYA: Seorang pegawai polis yang pernah menjadi tahanan pencegahan boleh kembali bertugas selepas Lembaga Disiplin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua yang lain gagal dalam rayuan mereka untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pegawai itu dipecat secara salah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan oleh Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus hari ini menolak rayuan oleh pengerusi Lembaga Disiplin PDRM, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

Panel tersebut, yang turut disertai Hakim Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Aziah Ali, memerintahkan pihak perayu membayar kos mahkamah berjumlah RM10,000.

Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Cif Inspektor Mohd Azuan Aniffa bagi memperolehi perintah 'certiorari' bagi membatalkan keputusan pengerusi lembaga disiplin untuk memecat beliau.

Mohd Azuan, 44, digantung tugas berkuatkuasa 18 Disember 2006 selepas ditahan di Pusat Tahanan Kamunting, Perak, antara 2006 dan 2008.

Menerusi surat bertarikh 28 November 2008, Mohd Azuan dipecat daripada perkhidmatan berkuatkuasa 26 November 2008 mengikut Peraturan 33 (1) Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atas dakwaan beliau mempunyai rekod jenayah.

Beliau kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2 Jun 2009 dengan menuntut perintah 'certiorari' bagi membatalkan keputusan pemecatan oleh pengerusi lembaga disiplin.

Beliau ditukarkan ke unit pengurusan sistem maklumat di Jabatan Sumber Manusia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ketika dipecat.

Beliau berkhidmat dengan pasukan polis selama 22 tahun.

Pada 8 Oktober 2010, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Mohd Azuan dan mengeluarkan perintah 'certiorari' bagi membatalkan keputusan pengerusi lembaga itu memecatnya daripada perkhidmatan.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan supaya Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi membuat tafsiran tunggakan gaji, emolumen, elaun dan faedah yang patut diterima oleh Mohd Azuan. Peguam G. Subramaniam Nair, yang mewakili Mohd Azuan, berhujah bahawa penahanan anak guamnya bukan merupakan sabitan jenayah dan oleh itu, peruntukan salah dalam undang-undang diguna pakai oleh lembaga disiplin untuk memecatnya.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, yang mewakili perayu, memohon supaya mahkamah memulihkan semula keputusan pengerusi lembaga disiplin untuk memecat Mohd Azuan.

Beliau berhujah tindakan disiplin terhadap Mohd Azuan dilakukan selaras dengan undang-undang dan tiada ketidakadilan terhadapnyua kerana beliau diberi keadilan prosedur dan substantif. -BERNAMA

Artikel Lain