suria

Geng Curi Kereta Kancil Tumpas

SEREMBAN: Polis percaya berjaya melumpuhkan kumpulan mencuri kereta Kancil dengan tertangkapnya dua lelaki sejak Jun lepas dan penemuan semula 11 kereta jenis itu.

Turut ditemui semula ialah sebuah kereta Honda Stream dan kebanyakan kereta yang ditemui itu menggunakan nombor pendaftaran palsu, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh.

Beliau berkata polis turut menemui bumper kereta Kancil, rim sport, bonet kereta Kancil, kerusi kereta Kancil, kulit pintu kereta Kancil, lima komputer riba, rangka motosikal dan kamera.

Siasatan awal polis mendapati barangan yang dirampas itu melibatkan lima kes yang dilapor di Negeri Sembilan, empat kes di Kuala Lumpur serta masing-masing dua kes di Selangor dan Melaka, katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Osman berkata kejayaan polis itu adalah hasil maklumat orang awam serta maklumat seorang lelaki yang baru kehilangan kereta Kancilnya di Seremban. "Lelaki itu melihat keretanya dibawa lari oleh satu pasangan dengan seorang kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata kedua-dua lelaki yang ditahan itu berasal dari Melaka serta berumur dalam lingkungan 20-an dan 30-an.

Polis kini mencari seorang wanita yang dikenali sebagai Nurfaezah Hamidah Ramli, nombor kad pengenalan 870418-56-5156 dan beralamat terakhir di Kampung Sungai Yimun, Jalan Linggi, Linggi, Negeri Sembilan, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain