suria

Jutaan Ringgit Dibelanjakan Untuk Bersihkan Longkang Tersumbat

KUALA LUMPUR: Jutaan ringgit terpaksa dibelanjakan setiap tahun untuk membersihkan longkang dan parit yang tersumbat akibat sikap tidak bertanggungjawab masyarakat yang membuang sampah ke dalamnya.

Mereka membuang pelbagai benda ke dalam longkang termasuklah bahan buangan seperti air singki dapur yang terus mengalir ke dalam longkang.

Sikap sebeginilah yang mengakibatkan longkang dan parit tersumbat dan apabila hujan turun airnya akan melimpah hingga ke jalan raya berhampiran.

Longkang tersumbat telah dikenalpasti sebagai punca utama yang mengakibatkan banjir kilat di kawasan bandar .

Pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) selalu menghadapi masalah untuk membersihkan longkang dan parit yang tersumbat ini.

Sumber pihak kerajaan mendakwa lebih daripada RM40 juta diperuntukkan untuk membersihkan longkang dan parit di seluruh negara.

"Pada kebiasaannya, kertas tisu dan puntung rokok sering dijumpai di dalam longkang, lebih buruk apabila ada golongan masyarakat yang tidak bertanggungjawab membuang tilam di dalam parit dan longkang ini,” kata Pengarah Kanan Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Zainor Rahim Ibrahim.

Jabatan berkenaan membersihkan parit yang besar sementara PBT membersihkan longkang yang lebih kecil yang terletak dalam bidang kuasa mereka.

Zainor memberitahu The Star kos untuk membersihkan sampah dan longkang datang dari cukai yang dibayar oleh rakyat dan wang tersebut sepatutnya boleh dijimatkan dan digunakan untuk membiayai projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Membuang sampah ditempat yang disediakan atau tempat kitar semula dapat mengelakkan longkang dan parit daripada tersumbat yang seterusnya menyebabkan banjir kilat,” katanya.

Beliau mengakui kepesatan pembangunan di Lembah Klang telah menyebabkan banyak parit dan longkang yang dibina sebelum zaman merdeka tidak cukup besar untuk memenuhi kapasiti aliran air di kawasan-kawasan perumahan.

“JPS telah mengambil langkah untuk melebarkan longkang dan parit ini bagi memudahkan aliran air ke dalam sungai namun apabila longkang ini tersumbat ia menyukarkan aliran air,” katanya.

Dalam satu temuramah Disember tahun lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya satu usaha yang komprehensif segera dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir di Lembah Klang.

Baginda bertitah masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan tidak membuang sampah ke dalam longkang.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, Mat Hussin Ghani berkata sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk membersihkan longkang dan parit di enam daerah di negeri itu.

“Kita telah menemui benda-benda yang pelik seperti perabot, bantal malah sinki dapur ketika proses pembersihan dijalankan…Kita jangka macam-macam benda ada di bawah sana,” katanya.

Mat Hussin berkata jumlah sampah yang dibuang setiap tahun mencatatkan peningkatan, kerana masyarakat tidak sensitif bahawa sampah yang mereka buang ke dalam longkang dan parit ini menyebabkan aliran air perlahan sekaligus menyebabkan banjir kilat.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Zainon Zakaria berkata pihaknya membelanjakan RM1 juta untuk memberishkan dan membaiki longkang yang rosak tahun lalu.

Menurutnya, MBPJ terpaksa membersihkan sisa buangan komersil seperti minyak masak dan sisa buangan lalin yang dibuang secara terus ke dalam longkang.

“Masyarakat perlu mengubah sikap mereka. Jika tidak, walaupun kita membersihkan longkang dan parit ini masalah yang sama tetap akan wujud dan sukar untuk diselesaikan,” katanya.

Artikel Lain