suria

Insentif RM100 Untuk Warga Pusat Pemulihan AADK

PUTRAJAYA: Seramai 2,576 warga kerja Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang bertugas di 28 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dan Klinik Cure and Care 1Malaysia akan mendapat elaun khas RM100 sebulan mulai tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata elaun itu yang berkuatkuasa 1 Jan lepas akan mula dibayar tidak lama lagi.

"Ia adalah hadiah yang ditunggu-tunggu oleh semua pegawai AADK. Ini kerana AADK telah memperjuangkan permohonan elaun tersebut selama 16 tahun," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang AADK di sini, Selasa.

Abu Seman berkata elaun itu diberi atas faktor kerana bukan mudah untuk merawat dan memulihkan penagih dadah dan lain-lain kerana ia memerlukan keazaman dan ketabahan yang tinggi.

Dalam ucapannya pula, beliau berkata sepanjang tahun 2011, AADK telah memperkasakan lagi program-program di semua Klinik Cure & Care Service Centre (CCSC) dan juga Caring Community House (CCH).

Beliau berkata pendekatan yang lebih terbuka dan prihatin ini telah mendorong masyarakat untuk memilih perkhidmatan pemulihan secara sukarela tanpa melalui proses tangkapan dan perintah mahkamah.

Namun yang lebih membanggakan, kata Abu Seman, ialah sejak ia diperkenalkan, AADK telah menerima banyak pengiktirafan daripada pihak antarabangsa termasuk daripada Pejabat Bang-bsnag Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah tyang berpejabat di Bangkok.

AADK turut mendapat pujian daripada peserta Persidangan Persekutuan Antarabangsa Pertubuhan Bukan Kerajaan (IFNGO) di Kuala Lumpur pada 7 Nov lepas, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain