suria

Pensyarah Kolej Swasta Direman Terima Rasuah RM300

IPOH: Seorang pensyarah lelaki di sebuah kolej swasta di sini direman empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mohamad Nasarudin Mohamed pada 11 pagi, Khamis.

Pada 2 petang Rabu, pensyarah mata pelajaran Matematik itu ditahan SPRM di kolej berkenaan ketika menerima wang RM300 daripada seorang penuntut bagi membolehkan pelajar itu lulus dalam satu tugasan bagi tujuan peperiksaan.

Pensyarah lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pihak SPRM sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan dan dipercayai akan ada lagi penuntut tampil memberikan maklumat di samping kerjasama penuh diberikan pihak pengurusan kolej itu.

Difahamkan pensyarah berkenaan menjadikan penuntut yang lemah dalam pengajian mereka sebagai mangsa.

Pengarah SPRM Perak Nooraziah Abdul Manaf ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain