suria

Pusat Tranformasi Luar Bandar Akan Diwujudkan Di Seluruh Negara - Shafie Apdal

SEMPORNA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di seluruh negara sebagai mekanisme mengoptimumkan potensi luar bandar dan menjana pertumbuhan ekonomi baru.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata melalui RTC aktiviti ekonomi akan berkembang ke kawasan luar bandar dan seterusnya menjana ekonomi setempat.

Mohd Shafie berkata RTC, yang akan berfungsi sebagai pusat integrasi logistik, pemprosesan dan pengedaran hasil pertanian luar bandar, akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain seperti perbankan dan insurans, pusat latihan dan kemahiran, klinik dan ruang perniagaan.

"Buat permulaan, kerajaan akan memajukan RTC di Gopeng di Perak dan Wakaf Che Yeh di Kelantan sebagai projek perintis RTC. Empat lagi RTC akan dibangunkan di Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak," katanya ketika berucap merasmikan premis Kolej Risda Cawangan Semporna di sini, Isnin.

Mohd Shafie RTC berkenaan merupakan satu inisiatif di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP), satu inisiatif kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar secara komprehensif seperti dicadangkan Belanjawan 2012.

Katanya sebanyak RM100 juta akan disalurkan kepada golongan profesional yang ingin menawarkan pelbagai khidmat kepakaran mereka seperti guaman, perakaunan dan klinik di pekan-pekan kecil di seluruh negara bagi membantu pertumbuhan RTC berkenaan.

Beliau berkata pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik kepada penduduk luar bandar tidak memadai sekiranya ia tidak disokong dengan aktiviti rangsangan ekonomi untuk penduduk luar bandar menjana ekonomi.

"Saya yakin transfomasi luar bandar ini dapat dijayakan dengan kerjasama semua pihak dan ini akan memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar," katanya.

Mengenai Belanjawan 2012, Mohd Shafie berkata kementerian diberi peruntukan RM5 bilion bagi memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar secara komprehensif di seluruh negara.

Katanya daripada peruntukan itu, RM1.8 bilion adalah untuk program Jalan Luar Bandar dan Projek Jalan Perhubungan Desa sepanjang 2,749 kilometer yang akan memberi manfaat kepada 1.76 juta penduduk luar bandar.

Sejumlah RM2.1 bilion akan digunakan untuk memperluaskan liputan bekalan air bersih kepada 200,000 rumah serta RM1.1 bilion untuk bekalan elektrik luar bandar kepada 39,000 rumah khususnya di Sabah dan Sarawak. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain