suria

Pemilik Hotel Haiwan Terima Permintaan Yang Tinggi Punca Kucing Terbiar Dan Mati – Sumber

PETALING JAYA: Kedua-dua pemilik hotel haiwan yang menyebabkan 12 ekor kucing peliharaan yang dihantar di pusat jagaan mereka dipercayai mempunyai ‘niat yang baik’ terhadap binatang peliharaan namun berubah selepas mendapat permintaan yang tinggi daripada orang ramai.

“Mereka berhasrat untuk mengembangkan perniagaan dan mereka berani mengambil risiko dengan menerima permintaan untuk menjaga lebih banyak kucing daripada jumlah yang mampu dikendalikan,” kata sumber yang mendakwa mengenali pemilik pusat jagaan haiwan tersebut.

Dia berkata kedua-dua pemilik hotel haiwan berkenaan merupakan pencinta haiwan dan sangat dedikasi dalam menjaga kucing di bawah jagaan mereka.

Bukan itu sahaja, mereka turut menawarkan potongan harga yang cukup istimewa. Jika sebelum ini kos penjagaan yang dikenakan adalah RM14 kini ia diturunkan sehingga RM3.99 sehari sempena sambutan Hari Raya

“Saya rasa potongan harga yang cukup rendah telah menarik minat orang ramai untuk menghantar binatang peliharaan mereka ke hotel haiwa tersebut kerana mereka mempunyai reputasi yang baik dan menawarkan perkhidmatan yang sangat efisen sebelum ini.

“Bagaimanapun semuanya berubah selepas insiden malang yang berlaku beberapa hari yang lalu,” kata sumber itu lagi.

Ahad lalu, kira-kira 50 pemilik haiwan peliharaan dan aktivis hak asasi haiwan dilaporkan telah membuat laporan polis di Balai Polis Damansara Damai ekoran kematian dan kehilangan binatang peliharaan mereka yang diletakkan di pusat jagaan haiwan di Damansara Damai sempena cuti Aidilfitri.

Mereka mendakwa pemilik pusat jagaan haiwan itu sengaja membiarkan kucing-kucing yang ditempatkan di situ kelaparan sehingga menyebabkan 12 ekor daripadanya mati.

Difahamkan pemilik pusat jagaan tersebut turut membuat laporan polis terhadap individu yang memecah masuk ke premis mereka tanpa kebenaran untuk menyelamatkan kucing masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Christine Chin berkata insiden yang berlaku sememangnya amat malang dan menyedihkan banyak pihak.

“Pusat jagaan haiwan ini sangat dihormati dan mempunyai reputasi yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Kedai Haiwan Petknode turut memohon maaf kerana tidak menjaga kucing-kucing yang dihantar kepada mereka sebaik mungkin.

Pemilik pusat jagaan haiwan berkenaan, Shahrul Azuwan Adanan dan Yushairi Khairuddin dalam satu kenyataan yang ditulis di laman sosial Facebook berkata mereka sangat sedih kerana gagal memberikan perkhidmatan yang dijanjikan.

“Kami mengaku telah mengabaikan kebajikan kucing-kucing yang dihantar oleh pelanggan kami,” kata mereka.

Mereka mendakwa pusat jagaan berkenaan menghadapi masalah kekurangan pekerja dan mereka sangat menyesal kerana gagal mengatasi masalah tersebut segera.

“Kami telah mencuba yang terbaik dalam menjaga kucing-kucing ini dengan sumber yang terhad,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kedua-dua pemilik pusat jagaan turut mencari sukarelawan yang berminat untuk membantu menjaga 26 ekor kucing milik mereka.

“Kami berharap haiwan ini akan diberikan jagaan yang baik,” katanya.

Sebuah akaun laman peminat Facebook yang diwujudkan bagi mengenakan denda yang sesuai terhadap pemilik pusat jagaan haiwan berkenaan turut diwujudkan dan kini telah berjaya mengumpul 100,000 peminat.

Artikel Berikut

Artikel Lain