suria

Serban...

Lelaki Afghan dan serban tidak dapat dipisahkan tetapi kini menjadi ancaman kepada keselamatan negara itu.
Lelaki Afghan dan serban tidak dapat dipisahkan tetapi kini menjadi ancaman kepada keselamatan negara itu.
Lelaki Afghan dan serban tidak dapat dipisahkan tetapi kini menjadi ancaman kepada keselamatan negara itu.

WARTAWAN mStar, Iwan Shu-Aswad Shuib telah menulis satu artikel yang sangat menarik dalam siri diari pengembaraannya ke India kali ini, Antara misai & serban lelaki Rajasthani. Iwan telah menceritakan dengan panjang lebar bagaimana ketika mengembara di Rajasthan, beliau telah berpeluang melawat muzium serban (turban) yang mempamerkan pelbagai gaya pemakaian serban di kalangan etnik Rajasthani. Menurut Iwan, di Rajasthan sahaja terdapat lebih daripada seribu gaya dan jenis pemakaian serban di kalangan kaum lelakinya.

Yang lebih menariknya ialah, bagi kaum lelaki di Rajasthan, serban bukan sekadar sebagai penutup kepala bagi melindungi mereka daripada bahang panas matahari tetapi lebih dari itu ia adalah lambang atau identiti diri - merujuk kepada kasta, agama, pekerjaan dan juga pangkat atau kedudukan dalam masyarakat. Serban di Rajasthan juga turut membezakan seorang pengantin, pahlawan, buruh, pedagang, pemuzik sehinggalah kepada golongan maharaja.

Bagaimanapun, di Afghanistan, lain pula ceritanya. Negara itu kini sedang berhadapan dengan satu ancaman baru iaitu serban. Serban tiba-tiba telah menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara sehinggakan Presiden negara itu, Hamid Karzai pada 10 Ogos lalu menyeru para ulama mereka bersuara membantah penggunaan serban untuk membunuh orang awam dan anggota keselamatan sebagai satu perbuatan yang haram dalam Islam.

Bagaimanakah ini berlaku? Para pengebom berani mati dari kalangan puak Taliban kini telah menemui satu kaedah baru untuk membunuh anggota tentera dan polis yang mereka anggap sebagai musuh dengan menyembunyikan bom jangka di dalam serban mereka lalu meletupkan diri apabila berjalan menghampiri sasaran. Kaedah ini didapati sangat berkesan kerana hampir kesemua lelaki Pashtun atau Afghan memakai serban ke mana sahaja mereka berada.

Hamid Karzai membuat seruan itu apabila dua pengebom berani mati menggunakan kaedah tersebut iaitu menyembunyikan bahan letupan di dalam serban untuk meletupkan diri mereka apabila menghampiri kawasan sasaran. Presiden itu berkata, oleh kerana serban juga adalah simbol pakaian orang Islam, maka para ulama perlu mengeluarkan fatwa berhubung isu tersebut.

Letupan pertama menyembunyikan bom di dalam serban berlaku pada majlis tahlil yang diadakan untuk adik tiri Hamid Karzai sendiri iaitu Ahmed Wali Karzai, yang juga mati dibunuh oleh pengawal peribadinya dan kejadian kedua letupan bom menggunakan serban pula berlaku di Kandahar yang mengorbankan datuk bandar tersebut.

Kandahar adalah bandar terbesar di selatan Afghanistan dan yang paling banyak mencatatkan kes-kes letupan bom oleh pengebom berani mati. Dan ekoran kejadian ini, Hamid Karzai telah mengadakan pertemuan dengan anggota Majlis Syura (Ulama) dan mendesak mereka supaya mengeluarkan fatwa mengenai perbuatan membunuh diri dengan meletupkan diri.

Sebelum taktik menggunakan serban sebagai cara meletupkan diri, para pengebom berani mati di negara itu telah menggunakan wanita yang kebanyakannya memakai burqa untuk menyembunyikan bom.

Burqa yang dipakai oleh hampir kesemua wanita Afghan menutup diri mereka dari wajah sehinggalah ke kaki. Malangnya di Afghanistan, meletupkan diri di tempat awam serta di kawasan yang menempatkan anggota keselamatan berlaku hampir setiap hari sehinggakan ia bukan lagi menjadi sesuatu yang mengejutkan. Hamid Karzai khabarnya tidak pernah tidur lena memikirkan nasib negaranya. Malah seorang wartawan yang pernah bertugas di Afghanistan pernah menceritakan bahawa sebaik sahaja letupan berlaku, orang ramai boleh meneruskan aktiviti harian seperti meminum teh dan memakan roti nan seperti biasa seolah-olah tidak ada apa yang tragis berlaku. Begitulah nilai nyawa manusia di sebuah negara yang bergolak dengan pertelingkahan kaum, etnik dan juga agama. Syukurlah situasi seperti ini tidak pernah berlaku di negara kita.

Sabar...

Bulan Ramadan adalah bulan yang menuntut kesabaran yang tinggi tetapi pada waktu inilah kesabaran kita sebagai manusia dicabar dan diuji. Ketika sedang berbuka puasa di sebuah masjid di Damansara, penulis telah melihat bagaimana seorang tua yang sedang menanti hidangan berbuka puasa telah menjerit ke arah seorang pekerja masjid kerana lambat membawa pinggan nasi kepada jemaah yang sedang menanti untuk makan.

Suasana itu sangat tidak kena dengan bulan yang mulia ini apatah lagi ia berlaku di dalam masjid. Orang tua berkenaan menjerit dengan berkata; “Hoi! Nasi mana ni? Dah lama orang tunggu...” Suaranya sangat kuat sehingga menyebabkan jemaah yang lain yang telah mendapat nasi terhenti makan kerana mungkin berasa malu alah dengan jeritan orang tua tadi. Kasihan pekerja masjid tersebut kerana amat jelas sekali dia sedang melakukan tugas-tugas menghidang itu seorang diri. Dia berlari dan terkejar ke sana ke mari untuk memastikan setiap jemaah mendapat nasi tetapi sebaliknya dia diherdik hanya semata-mata kerana ada sekelompok jemaah lagi masih belum menerima pinggan berisi nasi.

Kenapa tidak boleh bersabar sedikit dan memahami situasi petugas berkenaan? Jika dah tahu petugas masjid berkenaan tidak cukup tangan untuk menghidangkan makanan kepada ramai yang lain, kenapa tidak diri sendiri sahaja yang bangun dan bantu dia meringankan kerjanya yang berat itu. Sekurang-kurangnya dapat juga pahala dan amal jariah. Tidakkah bulan ini bulan yang mulia yang menuntut kita semua agar menjadi lebih penyabar dan beristighfar kepada tuhan yang maha esa di atas segala dugaan yang diujiNya.

Tetapi hanya kerana sepinggan nasi, seorang tua yang sepatutnya menjadi teladan kepada yang lebih muda memperlihatkan sikap yang tidak boleh diikut dan dicontohi oleh kita semua pada bulan yang mulia ini. Nafsu dalam dirinya (bukan syaitan) telah mendesak dia agar mengherdik seorang yang lain yang sedang melakukan kerja mulia iaitu menghidangkan makanan kepada insan yang lain. Ternyata tiada kesabaran adalah penyakit yang dihidapi oleh sebahagian besar kita semua...

Artikel Lain