suria

Video Seks: Itu Bukan Anwar Kata Ahli Parlimen Sg Petani

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terlibat dalam video seks selepas menontonnya di Hotel Flamingo, Ampang pada Isnin petang lalu. Datuk Johari Abdul yang merupakan Ahli Parlimen Sungai Petani dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau menontonnya dengan ditemani seorang bekas Ketua Menteri dan ahli perniagaan.

Johari mendakwa, beliau diajak menonton video tersebut dengan harapan beliau akan keluar dari parti berkenaan selain memujuk lebih ramai Ahli Parlimen PKR untuk turut berbuat demikian.

"Tetapi setelah menonton, saya berkeyakinan bahawa pelakon itu bukan Anwar kerana pada awal rakaman, kelihatan seorang lelaki lain sedang menguruskan rakaman video pada ketika seseorang yang mirip Anwar masuk ke dalam bilik.

"Sewajarnya, orang itu (yang mirip Anwar) sedar bahawa perlakuannya akan dirakam. Mustahil sesiapa yang waras akan melakukan adegan sedemikian kecuali dia diupah," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Rabu.

Menurut Johari, bahu si pelaku adegan seks itu adalah terlalu lebar dan tegap manakala bahagian punggungnya juga berisi dan jelas berbeza dengan anggota tubuh badan Anwar.

Katanya, perutnya adalah buncit dan terlalu besar jika dibandingkan dengan perut bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Justeru itu, Johari percaya mereka yang mengajaknya menonton video tersebut adalah dalang di sebaliknya pendedahan video seks tersebut.

Pada Isnin lalu, satu kumpulan yang enggan dikenali mendakwa mereka memiliki klip video hitam putih yang memaparkan aksi seks seorang pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur wanita di sebuah hotel di sini yang menawarkan perkhidmatan seks.

Kumpulan itu, yang diketuai seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya hanya sebagai Datuk T, berkata mereka akan menyerahkan pita video itu kepada pemimpin pembangkang tersebut dan isterinya dalam masa seminggu ini.

Sehubungan itu, Anwar pada Selasa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung rakaman video aksi seks yang ditayangkan kepada wartawan di Carcosa Seri Negara.

Dalam laporan yang salinannya diedarkan kepada media itu, Anwar menafikan bahawa dirinya adalah lelaki dalam video itu.

Anwar menyifatkannya sebagai serangan yang mengaibkan, melampau dan bermotif politik ke atas karektor serta reputasi beliau dan keluarganya.

Artikel Lain