suria

Peniaga Mati Lemas Di Kolam Renang Hotel

ALOR SETAR: Seorang peniaga kedai perkakasan mati lemas ketika mandi di kolam renang sebuah hotel di sini, kira-kira 5.40 petang Jumaat.

Tan Kaw Liang, 36, dari Taman Padi Emas, Alor Mengkudu di sini, telah pergi ke kolam renang Hotel ASRC di Lebuhraya Darul Aman itu bersama dua anaknya yang berusia tiga dan enam tahun.

Ketika kejadian, kedua-dua anak mangsa mandi di kolam renang kanak-kanak.

Ibu mertua mangsa, Ooi Swee Keow, 61, berkata setiap minggu Tan bersama keluarganya akan ke kolam renang itu untuk mandi.

Bagaimanapun, pada hari kejadian, Ooi berkata anaknya (isteri mangsa) tidak turut serta kerana terpaksa bekerja.

"Minggu depan sudah nak raya (Tahun Baru Cina), semua persiapan sudah buat. Tapi bila sudah berlaku perkara ini, sambutan raya pun sudah tidak bermakna," katanya yang mendakwa perenang keselamatan tidak ada untuk memantau keadaan di kolam renang itu ketika kejadian.

Perenang keselamatan Mohd Rosidi Mohd Ali, 37, pula berkata beliau sedang mandi di bilik air apabila diberitahu dua orang kanak-kanak bahawa ada orang 'tidur' dalam kolam renang dewasa.

"Saya terus pergi ke kolam itu yang terletak bersebelahan dengan bilik mandi, dan terlihat ada lelaki tenggelam di dasar kolam.

"Saya terus terjun dan cuba selamatkan lelaki itu dengan membuat CPR dan tekan dada mangsa," katanya yang memberitahu kolam tersebut mempunyai kedalaman antara tiga hingga tujuh kaki.

Mohd Rosidi berkata beliau memanggil pemilik hotel, yang menghubungi polis serta hospital, selepas mendapati darah keluar melalui hidung mangsa dan nadinya tidak berdenyut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai insiden berkenaan.

"Hasil bedah siasat yang dilakukan oleh pihak Hospital Sultanah Bahiyah menunjukkan mangsa mati lemas dan tiada unsur jenayah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain