suria

Kerajaan Negeri Pahang Belum Tarik Balik Amaran Banjir:Adnan

KUANTAN: Kerajaan negeri masih belum menarik balik amaran banjir di negeri ini walaupun tiada kejadian banjir baru dilaporkan di negeri ini, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau berkata Pahang masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan sedang memantau paras air di sungai-sungai utama di negeri ini.

"Saya masih lagi menerima amaran berhubung paras air di sungai-sungai di negeri ini daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kolokium pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Negeri Pahang di sini, Ahad.

Katanya projek empangan Chereh dekat sini yang dibina pada Mac 2002 dan siap pada Julai 2008 dan beberapa projek tebatan banjir didapati berkesan dalam mengelak banjir besar berlaku di negeri itu khususnya di daerah Kuantan.

"Saya akan dapatkan laporan lengkap daripada JPS untuk mengetahui kesan sebenarnya," katanya.

Daerah Kuantan mula dilanda banjir pada 30 Dis lepas dan pulih sepenuhnya pada 9 Januari. Sepanjang tempoh itu seramai 297 orang daripada 62 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir.- BERNAMA

Artikel Lain