suria

Khusrin Akan Teruskan Tugas Sebagai SUK Selagi Tiada Arahan Dari JPA

SHAH ALAM: Datuk Mohamad Khusrin Munawi berkata beliau akan meneruskan tugasnya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru selagi tiada arahan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk ditukarkan ke peringkat kerajaan pusat.

Mohamad Khusrin berkata beliau akan menjalankan tugasnya itu meskipun pelantikannya ke jawatan SUK oleh kerajaan pusat ditentang oleh kerajaan negeri Selangor.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa sebagai penjawat awam, saya tahu peraturan dan tahu apa yang saya boleh dan apa yang tidak boleh dibuat oleh seorang penjawat awam.

"Saya akan buat kerja mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada selagi tiada arahan selanjutnya dari JPA. Kalau hari ini saya diarahkan pergi (oleh JPA), saya akan pergi...tiada masalah," katanya pada sidang media yang penuh sesak dengan wartawan di pejabatnya di Bangunan SUK di sini, Isnin.

Pelantikan Mohamad Khusrin sebagai SUK baru mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan berkata pelantikan itu belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran pengumuman pelantikan Mohamad Khusrin, bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai SUK berkuatkuasa 1 Januari lepas oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Hari ini, Abdul Khalid menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika di sini bagi mengemukakan nama tiga calon yang dipilih oleh sebuah panel kerajaan negeri yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim bagi jawatan SUK.

Menteri Besar berkata sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan kerajaan negeri, majlis angkat sumpah Mohamad Khusrin sebagai SUK tidak akan diadakan dan Mohamad Khusrin tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri.

Mohamad Khusrin turut melahirkan rasa kesalnya sebab menjadi bahan tohmahan dan fitnah sesetengah pihak dalam urusan pelantikannya sebagai SUK yang baru.

Katanya beliau tidak menghadapi masalah untuk bekerja dengan Menteri Besar dan "tidak akan memaksa mana-mana orang yang tidak sehaluan dengannya" untuk menerimanya.

Beliau berkata juga tidak menjadi masalah kepadanya jika Menteri Besar tidak membenarkannya menghadiri Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ataupun Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor sebagai ex-officio.

"Saya hanya melaksanakan polisi dan keputusan yang dibuat Exco. Saya tahu saya tidak boleh mempengaruhi mana-mana keputusan yang dibuat di peringkat Exco," katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran Perniagaan.

Ditanya mengenai dakwaan kononnya pelantikannya sebagai SUK baru merupakan satu cara bagi Barisan Nasional (BN) merampas semula pentadbiran Selangor daripada pakatan pembangkang, Mohd Khusrin berkata: "Apa yang saya boleh buat...undi setia saya pun tak boleh saya jamin".

Katanya beliau telah menjadi mangsa serangan peribadi oleh pelbagai pihak sejak bermulanya isu penahanan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah di Selangor pada November 2009.

"Banyak isu negatif dilemparkan terhadap saya yang menggambarkan seolah-olah saya pegawai yang bermasalah, tidak patuh kepada arahan serta mempunyai agenda politik tertentu.

"Perlu ditegaskan bahawa apa yang saya buat sepanjang saya bertugas di JAIS dan MAIS adalah mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada.

"Saya mengakui saya memang ada kekurangan untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan percaya masalah itu tidak menjadi halangan bagi saya teruskan khidmat saya sebagai SUK," katanya yang telah berkhidmat di Selangor selama 24 tahun. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain