suria

ADUN Sekinchan Dakwa Diserang

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim dari DAP mendakwa dipukul sekumpulan lelaki yang tidak dikenali ketika menemui pesawah di Kampung Ampang, Tanjung Karang dekat sini, pagi Khamis.

Ng berkata, beliau menemui pesawah terbabit pada 11.35 pagi tadi yang mengadu tentang harga padi yang rendah ekoran "potongan basah atau air" yang tinggi sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

Menurutnya, "potongan basah atau air" bermaksud potongan harga yang dikenakan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

"Saya baru turun dari kereta dan sempat bersalaman dengan tiga orang pesawah. Tiba-tiba saya dikepung oleh sekumpulan kira-kira 30 lelaki tidak dikenali.

"Mereka mengugut saya supaya jangan masuk campur di kawasan Tanjung Karang. Belum pun sempat saya membuka pintu kereta untuk beredar dari situ, saya ditumbuk bertubi-tubi dengan tangan dan ditendang di perut," katanya kepada mStar Online.

Kampung Ampang terletak di sempadan Sekinchan dan kawasan Parlimen Tanjung Karang.

Ekoran serangan itu, Ng berkata, tangannya cedera manakala kepalanya bengkak akibat dihentak dengan penumbuk.

Katanya, turut diserang ialah Ketua Kampung Ampang, Tanjung Karang dikenali sebagai Hamidon; pegawai akhbar Lee Lih Perng dan pembantu khas, Wong Ah Chia yang juga pegawai perhubungan kampung di Sekinchan yang mengikutinya ke kampung terbabit.

Ketika dihubungi, Ng sedang membuat laporan polis di balai polis Kuala Selangor sebelum mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Tanjung Karang.

Beliau melahirkan rasa kesal dengan tindakan lelaki yang berlagak samseng itu dan berharap polis dapat membawa mereka ke muka pengadilan.

Mengulas lanjut mengenai lawatannya ke kampung tersebut yang terletak di luar kawasan Sekinchan, Ng berkata, beliau terpanggil untuk mendengar rintihan para pesawah terbabit.

Katanya, pesawah mendakwa pendapatan berkurangan kerana hasil jualan padi kini dipotong sebanyak 20 hingga 25 peratus berbanding 17 peratus sebelum ini.

Ini bermakna pesawah cuma memperoleh RM1,150 untuk setan padi berbanding RM1,300 sebelumnya.

"Walaupun terletak di luar kawasan saya, saya ingin turun padang dan panjangkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Saya juga bercadang mengemukakan aduan rakyat tersebut ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 8 November ini.

"Bagaimanapun sampai di sana, mereka takut dijadikan isu dan disensasikan. Insiden ini tidak akan menghalang saya daripada menjalankan tugas saya tanpa kompromi," katanya.

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain