suria

Pembunuh Syafiah Humairah Dihukum Mati

SHAH ALAM: Pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil,28, Rabu dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi di sini mendapati dia bersalah menyebabkan kematian anak kepada teman wanitanya. Kanak-kanak perempuan itu, Syafiah Humaira Sahari berusia tiga tahun.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mohtarudin Baki selepas mendengar perbicaraan yang berlangsung selama tujuh bulan itu.

Tertuduh yang merupakan kekasih kepada ibu Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz didakwa membunuh mangsa dengan cara menendang dan memijak perut kanak-kanak tidak berdosa itu kerana dikatakan enggan memakai selipar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 6.30 petang, 25 Februari lalu di padang bola di Jalan Utama, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Syafiah Humaira yang manja dipanggil “Pia’ merupakan anak kedua Siti Nurhanim, 25, seorang bekas pelayan kelab malam hasil perkahwinannya dengan seorang anggota polis, Sahari Usul.

Sahari kini berada dalam tahanan reman kerana sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh.

Siti Nurhanim juga mempunyai seorang lagi anak, Syakimie Iqbal hasil hubungannya bersama tertuduh.

Syafiah Humaira disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian perut, kepala dan juga abdomen.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain