suria

Hutan Seluas Satu Hektar Di Taman Sri Gombak Terbakar

KUALA LUMPUR: Kawasan hutan seluas satu hektar di lereng bukit di Jalan SG 10/1, Taman Sri Gombak di sini terbakar tengah hari tadi dipercayai berpunca daripada pembakaran kabel oleh individu tidak bertanggungjawab.

Pegawai Kanan II Balai Bomba Bandar Baru Selayang Azril Ahmad berkata kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu diburukkan lagi oleh cuaca panas yang menyebabkan api marak dengan lebih cepat.

"Kejadian dipercayai berpunca dari pembakaran kabel di kawasan hutan itu oleh individu yang tidak bertanggungjawab berdasarkan penemuan kabel-kabel terbakar di atas bukit tersebut.

"Mereka dipercayai melarikan diri apabila melihat api marak berikutan cuaca panas dan angin kuat," katanya.

Beliau berkata seramai 44 anggota Bomba, termasuk pegawai, bersama dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang dan Rawang dikejarkan ke tempat kejadian sebelum api dapat dikawal kira-kira 45 minit kemudian.

Katanya anggota Jabatan Pertahanan Awam turut membantu memadamkan api yang berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 5.30 petang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain