suria

Bekas Isteri Zainal Abidin Fail Permohonan Ubah Perintah Nafkah Anak

KUALA LUMPUR: Natasha Gabriel Abdullah, bekas isteri kepada penyanyi popular Zainal Abidin, memfailkan permohonan untuk mengubah tiga terma yang terkandung dalam perintah nafkah dua anak mereka sebelum ini.

Natasha memfaikan permohonan bagi mengubah terma yang terdiri daripada perbelanjaan bulanan, hari raya dan perubatan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa, menerusi peguam syarie Norhusniah Husin.

Dia selaku pemohon mendirikan rumah tangga dengan bekas vokalis kumpulan Headwind itu pada 24 Mac 1987 dan disahkan bercerai pada 12 Disember 2000.

Hasil perkahwinan mereka yang kedua-duanya berusia 51 tahun dikurniakan dua orang anak, Timur, 18, dan Mikhail, 16, yang disahkan menghidap penyakit autisme dan mata.

Pada permohonan itu, Natasha memohon penambahan nafkah wajib, iaitu perbelanjaan bulanan sebanyak RM2,400, hari raya (RM600 untuk setiap seorang) dan perbelanjaan pelajaran dan perubatan untuk Mikhail (RM3,300) dan Timur RM2,000.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 75 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Ketika ditemui, Norhusniah memberitahu pihaknya akan menyampaikan notis permohonan kepada Zainal yang terkenal dengan lagu Hijau itu sebelum 26 Ogos ini bagi membolehkan pihak-pihak menghadiri proses sulh untuk berbincang secara baik.

“JIka dalam perbincangan itu, Zainal dan Natasha dapat mencapai kata sepakat dan persetujuan berhubung nafkah anak, ia akan direkodkan sebagai perintah dan berkuatkuasa serta-merta.

“Jika tidak, kes berkenaan akan dibicarakan,” katanya.

Zainal dan Natasya tidak hadir di mahkamah.

Pada 23 Jun lalu, Zainal dan Natasya berjaya mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes tuntutan nafkah anak berjumlah RM18,900 yang didakwa tertunggak selama 29 bulan setakat April di luar mahkamah.

Zainal menjelaskan pembayaran itu dengan menggunakan cek yang dibuat sebanyak dua kali.

Artikel Lain