suria

Polis KL Akan Pergiat Operasi Kesan PATI

KUALA LUMPUR: Pihak polis akan meningkatkan operasi mengesan pendatang tanpa izin yang tinggal di kawasan hutan di bandaraya ini bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, ini berikutan terdapatnya kes pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di tapak pembinaan menjadikan kawasan hutan berhampiran sebagai tempat bersembunyi di waktu malam agar tidak dikesan.

Awal pagi ini, polis telah menahan 13 lelaki pendatang asing tanpa izin, yang terdiri daripada enam warga Bangladesh dan tujuh warga Indonesia dalam operasi di kawasan hutan di sekitar Bukit Kiara, kata Wan Abdul Bari.

Dalam serbuan pada kira-kira pukul 3 pagi itu, pendatang asing itu sedang nyenyak tidur dengan hanya berlapikkan plastik di atas tanah di dalam hutan itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Terbuka Polis Kuala Lumpur di Balai Polis Wangsa Maju di sini hari ini.

Wan Abdul Bari berkata, daripada pemerhatian yang dibuat, pendatang tanpa izin berkenaan bekerja, makan dan mandi di tapak pembinaan sebelum berjalan kaki ke kawasan hutan untuk tidur.

Sementara itu, katanya di tapak pembinaan dekat kawasan Pantai Dalam di sini awal pagi ini, dua pendatang tanpa izin warga Bangladesh yang berumur dalam lingkungan 20-an, cedera parah apabila terlibat dalam pergaduhan merebut tempat tidur di dalam kawasan hutan berhampiran kawasan itu, dengan dua pendatang tanpa izin dari Indonesia.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, seorang pengawal keselamatan terlihat dua mangsa itu berlari masuk ke dalam kawasan tapak pembinaan dengan seorang mangsa cedera akibat dikelar di leher, manakala seorang lagi cedera di perut dipercayai diserang menggunakan senjata tajam," katanya.

Beliau berkata kedua-dua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan, dan polis turut menahan mereka kerana tidak mempunyai permit dan dokumen perjalanan yang sah.

Artikel Lain