suria

Muhyiddin Sedia Bertemu Kesatuan Guru

KUALA PILAH: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia untuk bersemuka dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bagi menyelesaikan sebarang permasalahan yang berbangkit.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan.

"Sebenarnya pihak Ketua Pengarah Pelajaran sudah berjumpa. Saya minta sebelum saya berjumpa, saya mahu tahu isu dan masalah atau perkara yang mereka bangkitkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Negeri Sembilan di Beting, dekat sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai hasrat NUTP untuk bertemu beliau bagi menyelesaikan beberapa perkara mengenai profesion perguruan termasuk bebanan tugas para guru.

Muhyiddin berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa antara perkara yang akan dibangkitkan ialah berhubung masalah beban kerja, kebajikan dan perjawatan guru.

"Ia bukanlah satu perkara yang luar biasa dan daripada laporan yang saya terima kesatuan melihat beberapa kes yang berlaku di peringkat negeri yang dibuat di peringkat sekolah.

"Antaranya mengarahkan guru datang ke sekolah lebih daripada hari biasa yang mereka katakan ini sudah menjadi beban. Kita akan mengumpul maklumat ini dan saya telah minta satu tarikh untuk mendengar apakah masalah yang mahu ditimbulkan dan bagaimana boleh menyelesaikannya," katanya.

Beliau berkata, ia bukan masalah nasional tapi kes yang berlaku di sesetengah tempat di sekolah tertentu.

"Apa pun kita akan ambil perhatian dan kita akan lihat cara-cara untuk mengatasinya. Jadi pertemuan ini memang saya akan tetapkan tarikhnya," katanya.

Mengulas pula langkah kerajaan Pas Kelantan untuk melantik Ahli Parlimen Gua Musang yang juga bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai perunding bagi mewakili kerajaan negeri itu dalam soal berhubung tuntutan royalti minyak, Muhyiddin berkata, perkara itu terserah kepada Tengku Razaleigh sendiri untuk memutuskannya.

"Bagi kita, kita telah memberi penjelasan yang cukup, kalau mereka (Kerajaan Kelantan) tidak puas hati dan ada pihak yang mahu membantu menyelesaikan masalah ini, terserahlah pada mereka," katanya.

Bercakap di majlis tersebut, beliau menyifatkan UiTM sebagai simbol kesungguhan kerajaan untuk memajukan masyarakat Melayu bumiputera melalui penguasaan ilmu dan kemahiran yang relevan dengan tuntutan semasa.

Menurutnya, bermula dengan penubuhan Dewan Latihan Rida pada tahun 1956, institusi pendidikan tersebut telah berkembang maju sehingga tertubuh UiTM pada tahun 1999.

"Sepanjang berada dalam arena pendidikan negara, UiTM telah berjaya melahirkan para profesional dan juga teknokrat bumiputera yang telah banyak menyumbang kepada kemajuan bangsa dan pembangunan negara.

"Kini UiTM berdiri megah sebagai institusi pengajian tinggi yang unggul di negara ini. Dengan sejumlah 136,900 orang pelajar dan 26 buah kampus cawangan dan satelit di seluruh negara, UiTM adalah satu-satunya universiti yang mempunyai rangkaian kampus paling besar di negara ini dan menampung jumlah pelajar yang paling ramai," katanya.

Beliau berkata, menerusi rangkaian kampus universiti itu di setiap negeri, UiTM juga merupakan universiti paling berjaya dalam melebarkan jaringan kemudahan pendidikan tinggi kepada penduduk di seluruh negara.

Sebelum pulang, beliau turut berjalan-jalan bertemu rakyat di Bazar Kuala Pilah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain