suria

Kerusi Dewan Perniagaan Melayu PP: Azman Shah Kesal Pencalonannya Dibatalkan Saat Akhir

GEORGE TOWN: Penyandang jawatan, Rizal Faris Mohideen berjaya mempertahankan jawatan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang tanpa bertanding selepas satu-satunya pencabar beliau, Datuk Azman Shah Omar Shah dibatalkan kelayakan bertanding.

Pencalonan Azman telah dibatalkan pada saat-saat akhir atas alasan seseorang calon hanya layak bertanding sekiranya ia telah melibatkan diri dalam mana-mana entiti perniagaan sekurang-kurangnya untuk tempoh 12 bulan.

Azman didakwa tidak memenuhi syarat tersebut.

Azman yang kelihatan benar-benar kecewa dengan keputusan itu ketika ditemui wartawan di luar dewan persidangan di Hotel Trader di sini berkata,beliau bukan sahaja terkejut dengan keputusan itu tetapi menyifatkannya sebagai satu konspirasi terancang.

“Sebelum berlangsungnya Persidangan Agung tahunan ini, semuanya kelihatan ok malah pada 1 Mac lalu borang pencalonan telah diedarkan dan saya menerima 45 pencalonan daripada 415 ahli dewan yang layak bertanding tapi hari ini tiba-tiba pencalonan saya dibatalkan,” tegas beliau.

Azman juga mendakwa dalam mesyuarat jawatankuasa dewan pada 5 Mac, minit pada mesyuarat sebelum itu menyatakan dengan jelas yang beliau layak bertanding.

“Dan ketika pencalonan ditutup pada 8 Mac, saya telah dimaklumkan bahawa penasihat undang-undang dewan telah memberi lampu hijau yang saya layak bertanding...jadi macamana tiba-tiba hari ini tak boleh bertanding pulak.

“Sebab itu saya terkejut apabila pengumuman dibuat yang kelayakan saya telah dibatalkan.Ini sungguh tidak adil," ujar beliau lagi.

Azman, yang telah menjadi ahli dewan pada tahun 1997, turut berkata, tidak ada peruntukkan di dalam perlembagaan dewan yang membolehkannya membuat rayuan.

Pada persidangan tahunan itu sejumlah 1,700 perwakilan hadir.

Dengan kemenangan secara teknikal itu, Rizal Faris akan mengetuai dewan untuk penggal yang kedua.

Rizal sebelum ini berkata, di bawah kepimpinannya, dewan perniagaan melayu telah berjaya mengurangkan hutang lapuk daripada RM12 juta kepada RM5 juta sahaja sekarang.

Beliau mengambilalih kepimpinan dewan pada tahun 2007 daripada Datuk Seri Abdul Rahman Maidin.

Artikel Berikut

Artikel Lain