suria

Raja Perempuan Kelantan Kemuka Bantahan Berhubung Arahan Tunjuk Sebab

KOTA BAHARU: Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pada Ahad mengemukakan bantahan di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, terhadap arahan tunjuk sebab kerana ingkar perintah mahkamah membenarkan hak lawatan kepada isteri kedua Sultan Kelantan, Che Puan Elia Suhana Ahmad.

Bantahan itu dikemukakan oleh peguam yang mewakili Raja Perempuan Kelantan, Zainul Rijal Abu Bakar dan Abdul Halim Bahari.

Bagaimanapun Raja Perempuan Kelantan dan dua pengawal peribadinya Muhammad Shahrizan Zainal dan Zaiton Husin Merican, yang ketiga-tiga mereka telah diperintahkan untuk tunjuk sebab itu, tidak hadir di mahkamah.

Zainul Rijal kemukakan bantahan itu setelah membangkitkan dua isu berhubung penyerahan saman kes induk hak lawatan bertarikh 4 Februari lepas, yang dipohon oleh Che Puan Elia Suhana dan perintah tunjuk sebab ex-parte perintah hak lawatan pada 21 Februari lepas.

Peguam yang mewakili Che Puan Elia Suhana, Fakhrul Azman Abu Hassan pula mempersoalkan ketidakhadiran ketiga-tiga defendan di mahkamah hari ini kerana menurutnya mana-mana pihak perlu hadir jika diperintah oleh mahkamah.

Hakim Syarie Mohd Yusof Awan menetapkan 4 April sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Pada 4 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, membenarkan Cik Puan Elia Suhana, 31, melawat Sultan Kelantan yang menerima rawatan di hospital Mount Elizabeth, Singapura bagi setiap Sabtu sehingga pagi Isnin setiap minggu.

Bagaimanapun Che Puan Elia Suhana mendakwa dihalang oleh ketiga-tiga defendan bertemu suaminya dan pada 21 Februari lalu mahkamah telah mengarahkan Raja Perempuan Kelantan bersama dua pengawal peribadinya hadir untuk tunjuk sebab. - BERNAMA

Artikel Lain