suria

Ong rancakkan demam EGM dengan slogan '1MCA, 1Pasukan'

KUALA LUMPUR: Dengan tinggal sehari lagi menjelang mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang begitu penting kepada MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat semalam melancarkan simbol "1MCA, 1PAsukan" bagi menandakan ulang tahun pertama beliau sebagai Presiden parti.

Sambil diapit beberapa pegawai tertinggi parti di Wisma MCA, Ong juga mengemukakan kad laporan pencapaian parti itu sejak 12 bulan kebelakangan ini dalam bentuk buletin empat muka dalam Bahasa Cina.

Tetapi bagi pemimpin MCA, yang berdepan dengan usul undi tidak percaya pada EGM Sabtu ini begitu cepat menolak bahawa majlis peringatan merupakan satu usaha bagi membalas manisfesto timbalan presiden yang digantung keanggotaannya, Datuk Seri Chua Soi Lek yang dikeluarkan Isnin lepas.

"Ini bukan manifesto. Saya ingin berkongsi dengan rakanrakan saya mengenai apa sebenarnya yang berlaku dan yang dicapai selama ini oleh pasukan saya sejak setahun lalu, kata Ong kepada pemberita kemudiannya.

"Pencapaian" yang tersenarai itu meliputi inisiatif ekonomi, lebih banyak peluang pendidikan kepada masyarakat Cina yang miskin bagi melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dan kerjasama dengan institusi di tanah besar China dan meningkatkan pembangunan sosial bagi masyarakat itu.

Dr Chua melancarkan manifestonya bertajuk "3R: Reject. Reunite. Rejuvenate." dan mendakwa presiden parti tidak melakukan apaapa bagi menyelamatkan dan memberi nafas baru kepada MCA sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Bahang permusuhan antara kedua-dua pemimpin itu yang bertelagah sejak pemilihan mereka, akan diputuskan oleh 2,377 perwakilan pusat yang akan mendaftar bagi EGM itu mulai tengah hari hari ini.

EGM itu dibuat berikutan pemecatan Dr Chua oleh Majlis Presiden kerana mencemarkan imej parti berikutan skandal seks videonya.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Pusat membatalkan pemecatan dan menggantikannya dengan menggantung keanggotaannya selama empat tahun.

Mesyuarat itu akan berjalan sebaik perwakilan mengundi bagi setiap lima usul yang dicadangkan oleh penyokong Dr Chua dan menerima Ong tanpa bantahan.

Perhatian yang ditumpukan kepada usul undi tidak percaya terhadap Ong dan satu lagi untuk mengembalikan semula jawatan Dr Chua akan menentukan survival salah seorang dan bukan keduaduanya, kata pemerhati politik.

Mereka yang menyokong presiden hari ini ialah Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun, Setiausaha Agung Datuk Wong Foon Meng, Bendahari Agung Tan Sri Tee Hock Seng dan Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong.

Ong bercakap berhubung kesangsian banyak pihak jika beliau dan Dr Chua mampu bekerjasama dan juga mengenai "kuasa ketiga" yang didakwa mahu menjatuhkan keduadua pemimpin itu.

"Kami bersyukur kerana pasukan kita, walaupun ada pandangan yang berbeza, tetapi keseluruhannya adalah satu pasukan yang utuh," katanya.

Ketika ditanya jika beliau melihat Dr Chua dan penyokongnya sebagai menghalang usaha MCA untuk bekerja sebagai satu pasukan untuk berkhidmat kepada rakyat, Ong berkata: "Parti itu sudah cukup matang untuk menyelesaikan pendapat yang bertentangan."

Mengenai lobi "kuasa ketiga", Ong menyerahkannya kepada perwakilan.

"MCA merupakan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi. Mereka boleh menyuarakan apa saja yang mereka mahu tetapi sama ada apapun yang dikatakan mereka dapat diterima oleh perwakilan atau tidak merupakan perkara lain," katanya.

Sambil menyokong presiden, Liow meminta perwakilan untuk membuat keputusan "yang lebih bertanggungjawab" kerana EGM begitu penting bagi menentukan sokongan akar umbi dan masa depan parti.

"Apa pun keputusan yang mereka akan buat, kepentingan rakyat perlu diutamakan. Sokongan rakyat, terutamanya masyarakat Cina adalah amat penting kepada MCA," katanya. BERNAMA

Artikel Lain