suria

15 pakar perubatan dilantik mengawasi rawatan H1N1

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan melantik 15 pakar kanan perubatan untuk mengawasi rawatan Influenza A(H1N1) di hospital dalam usaha membendung penularan pandemik itu di negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pakar kanan perubatan itu dilantik minggu lepas dan setiap mereka diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan satu negeri.

Pakar itu dikenali sebagai Jaguh H1N1 diberikan tugas melawat hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di negeri yang dikendalikan dan memberi nasihat cara-cara memperbaiki rawatan kepada pesakit, katanya kepada pemberita selepas menutup Bengkel Influenza A(H1N1) untuk Pengamal Media di sini semalam.

Beliau berkata mereka juga akan menemui masyarakat tempatan untuk meningkatkan kesedarannya dan cara-cara untuk membendung pandemik tersebut.

"Mereka adalah pakar kanan yang dihormati oleh pegawainya. Mereka akan pergi ke hospital dan klinik kerajaan dan swasta di negeri berkenaan, melihat keadaan ICU dan menasihatkan doktor dan melihat bagaimana doktor memberikan rawatan paling baik kepada pesakit," kata beliau.

Sehingga 31 Ogos lepas, Johor mencatatkan kematian paling tinggi iaitu 13 kes daripada 855 kes positif H1N1.

Selangor pula dilaporkan paling banyak kes iaitu 1,868 dengan lapan kematian.

"Orang ramai perlu tahu bahawa bilangan kematian yang tinggi di sesebuah negeri itu bagaimanapun tidak menggambarkan kawasan berkenaan terdedah kepada ancaman jangkitan yang serius," kata Dr Hassan.

Beliau berkata bilangan kes kematian di sesebuah negeri bergantung pada kepadatan populasi penduduk negeri berkenaan.

Dr Hassan berkata kumpulan umur 15 hingga 29 tahun merekodkan kematian tertinggi dengan 19 kematian diikuti kumpulan umur 30 hingga 44 tahun dan 45 hingga 59 tahun masing-masing mencatatkan 12 kematian. "Kita bimbang dengan ini. Orang ramai mesti patuh dengan nasihat kementerian dalam mengambil langkah berjaga-jaga apabila berada di kawasan awam.

"Mereka mesti pakai penutup mulut dan hidung dan gunakan pembasuh tangan, dan sangat waspada mengenai kesihatan mereka dan "jika mereka ada sebarang simptom ILI, mereka mesti elak berada di tempat sesak dan jumpa doktor segera," kata beliau.

Liow juga menggesa lebih banyak entiti swasta, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan tampil untuk menyumbangkan penutup mulut dan hidung serta pembersih tangan untuk orang ramai.

Setakat ini, pandemik itu telah mengorbankan 73 nyawa di negara ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain