suria

H1N1: 6 sekolah, 1 maktab perguruan ditutup hari ini

KUALA LUMPUR: Langkah membendung penularan wabak influenza A(H1N1) diteruskan dengan enam buah sekolah dan sebuah maktab perguruan di Pahang dan Pulau Pinang ditutup hari ini selepas sejumlah pelajarnya dikesan dijangkiti penyakit seperti influenza (ILI). Empat buah sekolah di Pahang iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Jengka, Maran, Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), Kuantan, Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub dan Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Lipis diarah tutup hari ini sehingga 7 Ogos depan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Pahang Datuk Abdul Aziz Abdul Latif berkata tindakan itu diambil setelah pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Kesihatan mendapati lapan pelajar dari sekolah-sekolah berkenaan disahkan positif H1N1.

Dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Pasir dan Sekolah Agama AlIqwan, Teluk Kumbar serta Maktab Perguruan Tuanku Bainun di Pulau Pinang juga diarah tutup sehingga 7 Ogos, menjadikan jumlah institusi yang ditutup akibat jangkitan virus itu di negeri itu sehingga kini kepada 22.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Pooh berkata arahan penutupan serta merta selama seminggu itu bagi mengelak berlaku penularan virus ILI kepada pelajar lain.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa setakat ini sebanyak 11 kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Semenanjung turut ditutup selama seminggu berikutan terdapat pelatih menunjukkan tandatanda jangkitan ILI.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil ketika menjelaskan perkata itu berkata kem yang terlibat ialah Kem PLKN Bina Semangat YPJ di Mersing, Johor; Kem PLKN Tangkas Kendiri, Kuala Kangsar, Perak; Kem PLKN Sri Impian, Pulau Pinang; Kem PLKN Merang Suria, Terengganu dan Kem PLKN Lagenda Gunung Ledang, Asahan, Melaka.

Kem-kem lain adalah Kem PLKN Syruz, Bukit Mertajam, Pulau Pinang; Kem PLKN Rachado Bay, Port Dickson, Negeri Sembilan; Kem PLKN Jiwa Murni, Semanggol, Perak; Kem PLKN Peladang, Setiu, Terengganu; Kem PLKN Geo Kosmo, Kuala Kubu Bharu, Selangor dan Kem PLKN Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Melaka. Abdul Hadi berkata penutupan itu melibatkan 2,478 pelatih setelah kira-kira 450 orang pelatih dikesan dijangkiti ILI.

Terdapat 83 buah kem PLKN di seluruh negara.

"Kebanyakan pelatih menunjukkan tanda-tanda dijangkiti ILI selepas pulang daripada bercuti selama empat hari bermula 24 Julai lepas dan dalam masa yang singkat jumlah pelatih yang mempunyai tanda-tanda ini bertambah dengan banyak," Abdul Hadi memberitahu pemberita selepas membuat lawatan ke kem PLKN Temasya Rimba Templer, hari ini.

Beliau berkata mengikut prosedur Kementerian Kesihatan, sesuatu tempat yang mempunyai simptom influenza A(H1N1) akan diarah tutup sekiranya lima peratus daripada jumlah keseluruhan penghuninya didapati mengalami demam sehingga mencecah 38 darjah Celcius.

Katanya, kesemua pelatih dikehendaki melapor semula di kem masingmasing selepas tamat tempoh penutupan kecuali mereka yang mendapat surat pengesahan daripada pegawai perubatan kerajaan.

Lawatan mingguan yang dibenarkan kepada ibu bapa dan keluarga ke kem-kem PLKN masih dibenarkan, tetapi tidak digalakkan, manakala pegawai, jurulatih, staf pengurusan dan kakitangan PLKN serta kakitangan pengusaha kem yang berulang-alik ke kem hendaklah memastikan mereka dalam keadaan sihat, katanya.

Mengenai Kem PLKN Temasya Rimba Templer, Abdul Hadi berkata setakat ini seramai 38 pelatih telah dikesan mengalami demam, tetapi hanya enam pelatih yang mencatat suhu badan 38 darjah Celcius. Kem itu kini berada di bawah pemantauan Jabatan Kesihatan, katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga hari ini adalah sebanyak 1,302 kes termasuk empat kematian.

Daripada jumlah itu 574 (44 peratus) merupakan kes import dan 728 (56 peratus) kes jangkitan tempatan. "Daripada jumlah ini, 1,272 kes (98 peratus) telah sembuh, hanya 19 kes (satu peratus) sahaja yang sedang menerima rawatan antiviral di hospital dan tujuh daripadanya berada di Unit Rawatan Rapi (ICU). 11 orang lagi sedang menerima rawatan antiviral di rumah," katanya.

Di Alor Setar, 123 orang pelajar lelaki Kolej Pembantu Perubatan Alor Setar, dikuarantin di Pusat Kesihatan Bandar Alor Setar selama seminggu bermula hari ini selepas mengadu demam dan sakit tekak. Bagaimanapun pihaknya belum memastikan kesemua mereka dijangkiti H1N1, kata Timbalan Pengarah Kesihatan Kedah Dr Shahidan Hashim. Pentadbiran kolej itu diarah supaya menangguhkan aktiviti pembelajaran dan riadah di kolej berkenaan serta mewajibkan pemakaian topeng penutup mulut oleh pelajar dan kakitangan kolej itu. Sementara itu, Sarawak mencatatkan 14 kes baru positif Influenza A (H1N1)hari ini, menjadikan jumlah kes 116 sehingga kini.

Bagaimanapun, tiada penutupan baru sekolah atau institusi pendidikan sejak semalam, menurut kenyataan jabatan Bilik Operasi Negeri di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya.

Menurut kenyataan itu, kes-kes baru itu adalah di Miri (10) dan Samarahan (empat) manakala jumlah kes positif yang dirawat di hospital masih kekal dengan empat di Kuching dan dua di Miri. BERNAMA

Artikel Lain