suria

ISA: PAS tetap mahu mansuhkan, Belia 4B mahu kekalkan

KUALA LUMPUR: PAS tetap mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan dan bukan setakat diubah suai atau dikaji semula tetapi Pergerakan Belia 4B mahu akta itu dikekalkan.

Jika Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpendapat akta itu adalah peninggalan penjajah yang sudah lapuk dan tidak sesuai lagi digunakan, Setiausaha Agung Pergerakan Belia 4B Datuk Wira Jamaluddin Abdul Rahim pula berkata ISA terbukti berkesan memelihara kemanan dan ketenteraman negara.

Menurut Abdul Hadi sesuatu undang-undang itu harus ada perubahan mengikut perkembangan masa.

Lagipun PAS sentiasa konsisten dengan pendirian sejak ia memperjuangkan pemansuhan ISA dan tidak pernah berganjak dengan pendiriannya itu, tegas Abdul Hadi kepada pemberita selepas mendengar taklimat pencapaian negeri Kedah sejak PAS memerintah negeri itu selepas memenangi pilihan raya umum tahun lepas daripada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Alor Setar hari ini.

Abdul Hadi turut mendakwa ISA digunakan oleh pemimpin parti pemerintah untuk melindungi keselamatan mereka.

Di IPOH, Jamaluddin berkata akta berkenaan tidak membawa mudarat kepada rakyat tetapi telah membantu mencegah dan mengawal beberapa gejala serta isu yang mengancam keamanan dan keselamatan orang ramai.

"ISA mesti diteruskan. Ia tidak sesuai dihapuskan ataupun diganti. Kami berharap kerajaan akan mengekalkan akta yang telah membawa banyak manfaat kepada negara," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Ketika mengulas desakan pelbagai pihak yang mahu ISA dimansuh atau dipinda, Jamaluddin berkata rakyat yang cintakan keamanan dan ketenteraman tidak akan berasa curiga dan takut dengan akta berkenaan.

Beliau juga berkata akta yang bersifat mencegah itu tidak menjejaskan imej tahanan malah ramai yang pernah ditahan di bawah ISA muncul menjadi pemimpin yang lebih popular dan menjawat jawatan penting. BERNAMA

Artikel Lain