suria

Tidak semua majikan menzalimi pembantu rumah

KUALA LUMPUR: Lena binti Udin, seorang pembantu rumah dari Indonesia berusia lewat 40-an berfikir sejenak dan dengan wajah tenang berkata: "Langsung ngak ada masalah, sudah tiga bekerja dengan majikan saya, ngak ada masalah".

"Apa yang penting harus saling mengasihi. Maksudnya antara pembantu rumah dan majikan itu harus saling mengerti," katanya. Beliau merupakan seorang daripada pembantu rumah dari Indonesia yang bekerja secara sah dengan hampir 300,000 majikan Malaysia.

Sebelum itu, penulis mengajukan dua soalan kepadanya. Pertamanya adakah beliau gembira bekerja di negara ini dan pernahkah beliau menerima sebarang layanan buruk daripada majikannya?

Pertemuan dengan pembantu rumah Indonesia itu diadakan di kediaman pasangan Mohd Izaree Azman, 29, dan Raja Nur Azila Raja Kamaruzaman, 30, di Pesona Villa, Ampang-Hulu Klang dekat sini, yang diatur bapa majikannya.

Mengakui bukan semua majikan tidak baik, Lena yang berasal dari Tanjung Morawa, Medan berkata majikannya melayan beliau seperti ahli keluarga sejak bekerja di negara ini November tahun lepas.

"Bapaknya Izaree dan ibunya Azila tidak menganggap bibik orang gaji, tapi seperti keluarga," kata ibu beranak tiga itu sambil meriba anak majikannya, Megat Iskandar, 3, yang kelihatan manja dengannya ketika temubual berlangsung di ruang tamu apartmen itu.

Lena berkata keluarga Mohd Izaree adalah majikan ketiganya sejak datang ke negara ini, kira-kira 11 tahun lepas, untuk membantu suaminya Sunardi menampung keluarganya di Medan.

Sebelum itu Lena bekerja dengan keluarga Melayu di Batu Caves, Selangor dan di Kuantan, Pahang, sejak 1998, sebelum berpindah bekerja di ibu negara.

Dengan bayaran gaji bulanan RM400, Lena berkata tugas utamanya adalah menjaga dan menguruskan dua anak majikannya iaitu Megat Iskandar dan Megat Irfan yang baru berusia sembilan bulan, selain melakukan kerja-kerja rumah lain.

"Soal gaji juga mudah. Bapak Izaree beri saya pilihan sama ada mahu pegang gaji, kirim atau simpan dalam akaun Maybank," kata Lena yang selalunya tidur sebilik bersama anak majikannya di apartmen empat bilik itu. Lena, yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, berkata beliau juga diberikan cuti atas permintaan dan selalu memanfaatkannya untuk melawat kakaknya di Seksyen 8 Bangi.

Ditanya mengenai insiden sebilangan kecil majikan menganiaya pekerja, Lena berkata beliau tidak percaya seorang yang mempunyai agama apatah lagi beragama Islam melakukan sedemikian.

"Tak sangka layanannya sekejam itu... Kalau sudah diberi makan daging babi, itu kejam kerana orang Muslim haram menyentuhnya (babi), apa lagi dipaksa makan," katanya sambil melahirkan rasa simpati terhadap pembantu rumah dari Jawa Barat, Siti Hajar, yang didera majikan selama tiga tahun.

Majikannya ditahan polis berikutan laporan polis dibuat oleh Siti Hajar setelah berjaya melarikan diri dari rumah majikannya dengan bantuan seorang pemandu teksi.

Kes penderaan terhadapnya sedang menunggu tindakan undang-undang selanjutnya.

Sebelum ini, kes pembantu dari Indonesia Nirmala Bonat didera majikannya Yim Pek Ha pada 2004 turut mendapat liputan meluas media terutama di negara asalnya.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 18 tahun penjara ke atas tertuduh pada November tahun lepas. Tertuduh telah membuat rayuan.

Bagi Selaseh, 48, yang berasal dari Pupan, kira-kira dua jam setengah perjalanan darat dari Surabaya, Jawa Timur, beliau tidak mempunyai sebarang sebab untuk lari dari majikannya di Chemor, Ipoh, Perak.

Ibu kepada tiga anak itu berkata ini kerana majikannya, Naimah Mohd Dahlan, 66, melayannya dengan amat baik malah menganggap beliau seperti anak kandung sendiri.

Malah beliau yang mesra dengan panggilan "Kak Seh" memanggil majikannya "Mak Su" yang dianggapnya seperti ibu sendiri sejak datang ke Malaysia, tujuh tahun lepas.

"Dari (November) 2003, langsung sampai sekarang Kak Seh tinggal dengan Mak Su, tak terlintas mahu pindah tempat lain kerana tidak ada curiga antara kami," katanya yang bertanggungjawab menguruskan rumah, pergi ke pasar dan menjaga rumah sewa majikannya.

Kak Seh berkata majikannya juga membenarkan suaminya, Mohd Iskandar, 50, seorang pekerja kontrak binaan untuk datang melawatnya pada bilabila masa.

Beliau berkata suaminya datang ke Malaysia kira-kira 12 tahun lepas sebelum diikuti Kak Seh enam tahun kemudiannya untuk menampung kehidupan mereka lima beranak.

Ketiga-tiga anaknya yang berumur di antara 12 hingga 29 tahun masih tinggal di Pupan, Surabaya, manakala suaminya kini bekerja di ibu negara.

"Setiap bulan, Kak Seh kirim sejuta setengah rupiah (kira-kira RM500) untuk anak-anak di kampung. Masa cuti jika ada rezeki, mereka akan datang melawat Kak Seh," katanya yang baru pulang bercuti di kampung halamannya selama dua bulan pada April lepas.

Lena dan Kak Seh adalah antara 270,000 warga Indonesia bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini. Keseluruhannya, terdapat 1.1 juta rakyat Indonesia bekerja di Malaysia.

Bagi Naimah, perbuatan mendera pekerja itu sepatutnya ditolak masyarakat.

"Kalau kucing pun kita sayang, inikan pula manusia. Lagipun mereka saudara seagama, serumpun. Tidakkah semua agama melarang kita daripada menganiaya orang lain," kata majikan wanita itu. BERNAMA

Artikel Lain