suria

Thaipusam: Batu Caves dibanjiri jutaan orang, kembali ceria

LAUTAN manusia yang membanjiri Batu Caves hari ini untuk menyambut hari Thaipusam. - foto The Star oleh ONG SOON HIN
LAUTAN manusia yang membanjiri Batu Caves hari ini untuk menyambut hari Thaipusam. - foto The Star oleh ONG SOON HIN
LAUTAN manusia yang membanjiri Batu Caves hari ini untuk menyambut hari Thaipusam. - foto The Star oleh ONG SOON HIN

KUALA LUMPUR: Jutaan penganut agama Hindu di Malaysia hari ini menyambut perayaan Thaipusam bagi menghormati hari lahir Dewa Murugan dengan mengunjungi beberapa kuil di seluruh negara.

Di KUALA LUMPUR, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu memberitahu pemberita lebih 1.5 juta pengunjung terdiri daripada penganut agama Hindu dan pelancong asing mengunjungi kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves, di sini.

Beliau berkata, sambutan Thaipusam kali ini yang jatuh pada hari minggu, menjadikannya lebih meriah berbanding tahun lepas kerana lebih ramai pengunjung berpeluang melawat kuil itu.

Katanya, lebih 10,000 penganut agama Hindu berarak membawa "kavadi" dan periuk susu "pal koodam" serta memecahkan kelapa untuk membayar nazar dan menebus dosa.

Thaipusam adalah perayaan yang disambut oleh penganut agama Hindu semasa bulan penuh Tamil yang dipanggil Thai (berlaku dalam bulan Januari atau Februari).

Turut dikenali sebagai Thaipooyam atau Thaippooyam dalam bahasa Malayalam, perayaan ini bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan iaitu anak bongsu lelaki Dewa Shiva dan Dewi Parvati.

Ia juga bagi memperingati peristiwa di mana Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya bagi menghapuskan kuasa jahat bernama Soorapadman.

Di JOHOR BAHARU, ribuan penganut agama Hindu meraikan sambutan Hari Thaipusam di sini dengan mengadakan perarakan pal koodam dan kavadi bagi membayar nazar masing-masing.

Penganut Hindu berarak sejauh lebih kurang dua kilometer dari Arulmigu Rajamariamman Devasthanam di Jalan Ungku Puan di pusat bandar raya ke Arulmigu Thandayuthapani Kovil di Jalan Kuil.

Perarakan yang sama juga diadakan dari kuil Mariaman di Taman Seri Skudai ke kuil Sri Bala Subramaniar Kovil di Batu 10 Skudai dan dari kuil Sri Muniswarar berdekatan Plaza Angsana sehingga Jalan Datuk Abdul Hamid.

Di PULAU PINANG, lebih 50,000 penganut agama Hindu, kebanyakannya dari wilayah utara, membanjiri Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani di Jalan Kebun Bunga untuk membayar nazar.

Orang ramai yang bertali arus itu, sama ada yang membawa kavadi atau menyaksikan acara keagamaan itu, memenuhi sepanjang jalan utama yang menuju ke kuil itu yang terletak di atas bukit.

Tinjauan Bernama mendapati suasana berada dalam keadaan terkawal dan tiada kekecohan berlaku.

Sehingga 12 tengah hari, keadaan di sekitar kawasan itu penuh sesak dan jumlah pengunjung dijangka bertambah sehingga lewat malam ini.

Turut memeriahkan suasana ialah masyarakat Cina penganut agama itu yang bersama ribuan pembayar nazar melakukan pelbagai cara untuk menyucikan diri.

Seorang pelajar, Koh Tze Lim, 18, yang baru sahaja selesai bersembahyang di kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani berkata beliau dan keluarganya memang selalu mengunjungi kuil itu untuk menyambut Thaipusam.

"Saya juga menjalani ibadah puasa dan hanya memakan sayursayuran setiap hari Jumaat selama 4 hari," katanya yang berdoa agar mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Para pelancong asing juga tidak ketinggalan menyaksikan perayaan itu dan bagi memastikan keadaan keselamatan serta lalu lintas terkawal, anggota polis, Unit Simpanan Persekutuan dan Rela turut ditempatkan di kawasan berhampiran.

Seorang pelancong dari Kanada yang hanya mahu dikenali sebagai Julien, 34, berkata, sambutan warna-warni itu merupakan satu pengalaman menarik yang akan dikongsi bersama rakan-rakannya apabila pulang ke negara asalnya.

Katanya, selama ini beliau hanya mengetahui tentang perayaan berkenaan melalui pembacaan namun apabila menyaksikannya sendiri, beliau berasa sangat kagum.

"Perayaan itu sangat cantik dan berwarnawarni dan saya terpegun apabila melihat kemampuan seorang lelaki membawa kavadi yang berat dan dihiasi bulu burung merak," katanya.

Beberapa batang jalan raya yang menjadi laluan utama pembawa kavadi ditutup secara berperingkat antaranya Jalan Datuk Keramat, Jalan Utama dan Jalan Air Terjun bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Di IPOH, kira-kira 100,000 penganut Hindu membanjiri Kuil Subramaniar di Gunung Cheroh, di sini sejak petang semalam bagi menyambut perayaan Thaipusam.

Pelbagai aktiviti keagamaan antaranya perarakan patung Dewa Murugan dari Kuil Sri Maha Mariamman di Sungai Pari ke Kuil Kallumai Arul Subramaniar yang teletak di kawasan batu kapur Gunung Cheroh yang turut dipenuhi dengan gerai jualan.

Jalan utama di bandar raya ini juga mengalami kesesakan berikutan beberapa jalan menghala ke Kuil Subramaniar ditutup bermula petang semalam hingga tengah malam ini.

Sambil menjunjung periuk susu serta kavadi, penganut Hindu berduyunduyun berjalan sejauh 10km melalui Jalan Sungai Pari, Jalan Tun Perak, Jalan Lahat, Jalan Sultan Yusuff, Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Raja Muda Musa dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Sungai Pari sejak semalam.

Malam ini para penganut Hindu itu akan memasang lampu pada kavadi mereka manakala esok mereka akan melakukan upacara memecah kelapa untuk membayar nazar.

Pusat membeli-belah dan kawasan rekreasi turut sesak dengan orang ramai yang mengambil kesempatan cuti umum di negeri ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain