suria

Graduan UiTM laku di pasaran hasil pendekatan QQ5E

SHAH ALAM: Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah sistem dan pendekatan akademik berkualiti tinggi serta komitmen setiap warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya melahirkan graduan yang mempunyai peratus kebolehpasaran tertinggi berbanding graduan daripada universiti lain di negara ini.

Kejayaan itu juga adalah hasil daripada pendekatan QQ5E (efisien, efektif, ekonomi, etika dan esprit de corps (semangat berpasukan) yang telah dilaksanakan oleh UiTM untuk mengimbangkan antara 'Quantity' dan 'Quality' di universiti itu, titah Seri Paduka Baginda pada istiadat Konvokesyen ke-69 universiti itu hari ini.

"Beta yakin, graduan UiTM boleh bertugas secara profesional di manamana sahaja, sama ada dalam agensi kerajaan mahupun dalam syarikat swasta tempatan dan juga antarabangsa, sama ada di dalam serta di luar negara. Tidak kurang pula yang menjadi usahawan, bekerja dan berniaga sendiri, " titah Seri Paduka Baginda.

Untuk konvokesyen kali ini yang akan berlangsung sehingga 2 Dis, seramai 16,425 graduan menerima ijazah kedoktoran, sarjana, sarjana muda, diploma dan sijil masing-masing.

Baginda bertitah, kejayaan itu mempunyai makna dan impak yang amat besar terhadap pembangunan dan keharmonian negara dan tanpa keseimbangan masyarakat dalam aspek-aspek tertentu, sudah pasti negara ini tidak akan makmur seperti hari ini.

Tuanku Mizan turut menasihatkan graduan yang telah berjaya agar tidak lupa untuk menyumbang kembali kepada UiTM dalam apa cara sekalipun.

"Ini adalah untuk menjamin kesinambungan kecemerlangan universiti ini dalam mendidik anak bangsa agar ketinggian martabatnya bukan sahaja berkekalan, malah meningkat ke tahap yang tersohor. Apabila kita sudah teguh tersohor, maka sukarlah bagi manamana pihak mengganggu gugat institusi mulia ini," titah baginda.

Kepada kakitangan UiTM, pula Tuanku Mizan menyeru mereka agar meneruskan semangat setiakawan yang tinggi dan bersatu hati dalam memperjuangkan amanah negara ini.

Seri Paduka Baginda melahirkan rasa terharu dengan kejayaan seorang pensyarah muda UiTM memenangi anugerah Obelisk, iaitu anugerah inovasi terbaik dalam seluruh penyertaan antarabangsa di British Innovation Show 2008 di London barubaru ini.

"Para graduan dan siswa siswi, ambillah contoh kejayaan ini agar dijadikan panduan untuk menjadi sumber pencapaian seterusnya.

Beta doakan agar UiTM dan para graduannya akan terus menjadi tonggak pembangunan bangsa serta menjadi benteng yang kukuh mempertahankan agama dan kedaulatan negara," titah baginda.

Pemenang Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor tahun ini ialah Noorul Syuhada Mohd Razali, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Makanan, anak ketiga pasangan Mohd Razali Sahudin, seorang peniaga dan Wan Zahrah Hassan, seorang guru kaunseling.

Pemenang Anugerah Pingat Emas Naib Canselor pula ialah Mohd Khairul Irwan Mansor, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Penyiaran yang merupakan anak tunggal kepada pasangan Mansor Ahmad, seorang pembantu tadbir dan Rosnah Mohd Zain, suri rumah.

Turut dianugerahkan pelajar cemerlang ialah Nur Eizera Herlena Mat Jahaya, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Farmasi (Kepujian) bagi Anugerah Cemerlang Tan Sri Arshad Ayub, Aznum Shaikh Awadz, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Statistik bagi Anugerah Pingat Emas Yayasan Budiman UiTM, Mohd Rahimi Yaacob, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Kepujian) bagi Anugerah Sains dan Teknologi Yayasan Sime Darby.

Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) ialah Muhammad Faisal Ahmad, 26, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Kepujian) Skrin, dan Prinses Saliang, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka (Kepujian) Fesyen, Suhaila Mat Kila, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Kewangan bagi Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Hashim dan Adiba Shareen Syed Sheikh Abdul Rashid, graduan Sarjana Muda UndangUndang (Kepujian) bagi Anugerah Kepimpinan Cemerlang. BERNAMA

Artikel Lain