suria

Polis tahan Geng Hendry terbabit kes samun dan pecah rumah

IPOH: Satu kumpulan dikenali sebagai "Geng Hendry" membabitkan remaja Melayu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan menyamun di sekitar bandaraya ini, dalam satu serbuan pada 27 Sept dan 8 Okt lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata, kumpulan pertama seramai empat orang ditahan di Jalan Kampar pada 27 Sept lalu ketika cuba memecah masuk sebuah kedai di Jalan Kampar.

Kegiatan mereka disedari oleh anggota peronda polis yang melalui jalan tersebut pada pukul 5.30 pagi dan menahan mereka yang ketika itu sedang mengumpil pintu utama sebuah premis di situ, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hasil siasatan ke atas mereka, polis kemudian menahan dua lagi lelaki pada 8 Oktober lalu di Manjoi, Jelapang yang ketika itu juga dikesan sedang melakukan pecah masuk rumah, katanya.

Mereka melakukan kegiatan tersebut dengan menaiki sebuah Perodua Kancil dan hasil siasatan polis kemudian menemui pelbagai jenis barangan curi antaranya wang tunai RM2,683, barang kemas dan barangan elektrik.

Polis juga mendapati mereka telah melakukan 16 kes jenayah membabitkan samun dan pecah rumah di sekitar bandaraya ini manakala dua lagi remaja yang turut terbabit dalam kegiatan itu sedang diburu, katanya. BERNAMA

Artikel Lain