suria

3 Juta Naskhah Buku Terpakai Di Junk Book Store

BAU 'harum' buku-buku lama menusuk ke hidung sejurus sahaja penulis membuka pintu kedai buku terpakai Junk Book Store yang terletak di hujung Jalan Tun H.S Lee, Kuala Lumpur.

Bagi 'ulat buku' ia boleh diibaratkan sebagai syurga kerana anda boleh menghabiskan masa sepanjang hari dengan membaca pelbagai bahan bacaan yang tidak terdapat di mana-mana kedai buku biasa.

Dikedai tiga tingkat milik Jeffrey Koh ini memuatkan 3 juta naskhah buku dan novel terpakai yang diatur dengan kemas dan padat di setiap inci premis sederhana besar yang berusia lebih 20 tahun itu.

Junk Book Store juga memeggang rekod kedai buku terpakai terbesar di Malaysia seperti yang disahkan oleh pihak Malaysia Book of Records. 


Jeffrey Koh memberitahu kedainya mempunyai 3 juta koleksi buku lama


Menurut Jeffrey, perniagaan tersebut mula beroperasi sejak 1990 di sebuah kedai kecil di Jalan Ampang, Junk Book Store kemudian berpindah ke lokasi sekarang sejak 1996.

Jeffrey berkata, setiap buku yang dijual mempunyai harga atau nilai tersendiri pada zaman ia diterbitkan.

Katanya, perasaan sayang dan cinta pada hobi membaca membuatkan dia mempertahankan kedai tersebut yang kini menjangkau usia 23 tahun.

"Saya berpendidikan dari London dalam bidang pemasaran dan selepas pulang saya terus mengusahakan perniagaan ini. Ia dibuka oleh kakak dan abang ipar saya.

"Semuanya berpunca daripada hobi dan cinta kami terhadap buku, kami membaca sehingga ia menjadi sebuah perniagaan keluarga.

"Kebanyakkan buku-buku yang kami jual ini adalah buku lama yang tidak dijual di mana-mana kedai," ujar Jeffrey sambil menyentuh susunan buku berhampirannya.

Kedai tiga tingkat ini menempatkan pelbagai jenis buku. 


Jelasnya, lebih lama usia buku tersebut ia akan menjadi lebih bernilai dan boleh dijual lebih mahal.

Koleksi paling mahal buat masa ini ialah buku berjudul Sarong Kris iaitu mencecah RM3,000. Ia berkaitan keluarga dan budaya masyarakat negeri Perak yang diterbitkan pada 1978.

"Buku ini tentang sejarah masyarakat Melayu di Perak. Ia ditulis dalam bahasa Inggeris dan merupakan buku paling mahal di kedai ini.

"Kalau buku yang murah pula seperti majalah dan komik, hanya dijual beberapa ringgit sahaja," katanya.

Jeffrey berkata, buku-buku tersebut kebanyakkan didapati daripada keluarga yang ingin berpindah ke luar negara yang tidak mahu buku-buku tersebut dibuang seperti sampah. 

Pelbagai jenis buku boleh didapati di Junk Book Store ini.


Kedai ini juga katanya, bukan sekadar satu perniagaan yang mementingkan kepada keuntungan semata-mata, tetapi turut memberi kebahagiaan kepada orang lain.

"Saya rasa gembira apabila pelanggan datang ke kedai kami berjumpa buku-buku yang mereka cari.

"Walaupun harga senaskah buku yang mereka cari hanya bernilai beberapa ringgit sahaja, namun kegembiraan dan kepuasaan mereka tidak dapat digambarkan.

"Bagi saya setiap buku itu mempunyai nilai sentimental tersendiri bagi seseorang individu itu berbanding harga buku tersebut," katanya.

Junk Book Store

Artikel Lain