suria

Antara Bola Sepak Dan Pilihan Raya

KUALA LUMPUR: Pada masa ini perkara semasa yang hangat diperkatakan ramai adalah perlawanan bola sepak, Harimau Malaya dalam kejohanan Piala Suzuki AFF dan pilihan raya umum ke-13, yang momentumnya semakin meningkat selepas Perhimpunan Agung Umno 2012 minggu lepas.

Pilihan raya seperti juga permainan bola sepak, memerlukan perancangan dan strategi yang teratur serta teliti bagi menjamin kemenangan sesebuah pasukan itu.

Jika permainan bola sepak menggunakan beberapa strategi dan formasi seperti 4-4-2, 4-3-3, 3-5-2, 3-4-3 dan 4-5-1 oleh sesebuah pasukan, pilihan raya pula menggunakan strategi seperti manifesto, calon serta jentera pilihan raya sesebuah parti yang bertanding.

Jika di dalam permainan bola sepak, formasi pemain amat besar pengaruhnya terhadap keputusan sesebuah pertandingan dan bagi seseorang jurulatih, mengatur kesebelasan utama pemainnya dengan memberi tugas dan tanggungjawab yang berlainan harus dilakukan dengan pertimbangan yang mendalam dan tepat.

Begitu juga dengan pilihan raya, penentuan kerusi untuk parti mana bertanding, pemilihan calon yang memenuhi selera pengundi dan tawaran manifesto besar pengaruhnya terhadap keputusan akhir pilihan raya dan ia harus dilakukan dengan penuh pertimbangan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hal ini ditegaskan Najib, yang juga Presiden Umno, ketika Perhimpunan Agung Umno 2012 baru-baru ini bahawa kemenangan dalam pilihan raya sebenarnya bergantung kepada banyak faktor seperti pengundi setempat, kecekapan jentera di setiap bahagian serta calon yang ditampilkan.

Seperti bola sepak, setiap pemain amat penting daripada penjaga gol sehinggalah pemain pertahanan, sayap kiri dan kanan, tengah dan penyerang dengan peranan yang adakalanya multitugas untuk memperoleh gol kemenangan.

Dalam pilihan raya, calon yang dipilih pucuk pimpinan parti memainkan pelbagai peranan bergantung kepada isu kawasan yang ditandinginya.

Semangat berpasukan yang ditunjukkan pemain ketika sesuatu perlawanan bola sepak mesti diterjemah dalam konteks pilihan raya, satu manfestasi tahap kesetiaan anggota parti dan kesanggupan bekerja untuk kemenangan parti.

Penyokong setia pasti akan terus memberi sokongan kepada siapa sahaja pemain pilihan jurulatih yang mampu menggalas cabaran dan pasti akan menuntut pemain berkenaan ditukar jika aksinya tidak memberangsangkan.

Hal serupa juga berlaku dalam pilihan raya.

Najib, yang juga Pengerusi BN, dilapor berkata bahawa realiti semasa yang menyaksikan bahawa sokongan rakyat kepada kepimpinan nasional dan negeri tidak semestinya diterjemah seratus peratus dalam bentuk undi kepada calon parti.

Najib berkata jika dahulu siapa yang diketengahkan parti merupakan calon boleh menang namun sekarang hakikatnya tidak begitu lagi.

Di dalam permainan bola sepak, seseorang pemain itu bukan sahaja sekadar pantas berlari dan mengawal bola tetapi juga perlu mempunyai kemahiran menggelecek bola dan menjaringkan gol.

Di dalam pilihan raya, Najib berkata calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah iaitu bukan sekadar diterima oleh lingkungan parti tetapi hendaklah juga disenangi masyarakat setempat sebagai pengundi.

Dalam permainan bola sepak dan pilihan raya, satu kesilapan yang dilakukan pemain atau calon atau jentera boleh mengundang padah kepada pasukan dan parti.

Bekas Ketua Umno Bahagian Titiwangsa Datuk Seri Dr Suleiman Mohamad pernah berkata bahawa kejayaan seseorang pemimpin bukan sahaja tertakluk kepada tahap kelantangannya menyuarakan permasalahan rakyat dan kekerapan turun padang.

Sebaliknya, kesanggupan dan keikhlasan pemimpin untuk memperjuangkan nasib kesemua rakyat yang diwakilinya tanpa mengira kaum. "Dalam erti kata lain, sebagai pemimpin kita tak boleh ada garisan perkauman seperti mengeluarkan kenyataan saya tidak perlukan undi kaum itu, kaum ini. Kalau ada, buatlah apa pun, kita akan kecundang dan inilah kesilapannya," katanya.

Menjadi juara adalah matlamat utama baik dalam bola sepak mahu pun pilihan raya dan antara bola sepak dan pilihan raya, pemain dan calon parti kedua-dua menggalas tugas dan cabaran yang berat iaitu misi memenangkan pasukan dan parti.

Jika susunan pemain atau calon selain strategi yang digunakan tepat, maka ia akan membawa hasil kejayaan seperti yang diharapkan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Imej Malaysia di PBB Melonjak

Artikel Berikut

Artikel Lain