suria

Buta Bukan Penghalang Untuk Mengerjakan Haji

MADINAH: Walaupun mengalami cacat penglihatan, namun ia tidak melemahkan semangat seorang jemaah haji Malaysia, Kamal Majid untuk berusaha mendapat haji yang mabrur.

Malah, bagi Kamal, 47, seorang guru tahfiz al-Quran dari Selayang Baru, Selangor berkata kecacatan yang dialaminya itu tidak membataskan beliau untuk menyempurnakan setiap rukun, semasa menunaikan rukun Islam kelima itu.

"Banyak orang kata, orang macam saya susah di sana (tanah suci) kerana kesesakan lautan manusia, tetapi saya tidak pernah terfikir macam itu dan kerana keinginan saya, tuhan makbulkan doa dan berikan saya pengiring dan pelbagai kemudahan lain," katanya kepada pemberita Malaysia di tempat penginapannya di sini.

Kamal, mengerjakan haji bersama anak saudaranya Mohd Nursyafiq, 18, yang juga bertindak sebagai pengiringnya.

Katanya dengan diiringi anak saudaranya itu, beliau sudah beberapa kali menziarahi makam Rasulullah s.a.w dalam Masjid Nabawi di sini, dan bersolat di kawasan Raudhah masjid berkenaan.

"Dari segi mata kasar, memang sukar hendak melawat makam Rasulullah s.a.w kerana terlalu ramai orang, selain tubuh orang Arab, Iran dan Turki yang besar... begitu juga kalau nak solat di Raudhah.

"Kita ini bertubuh kecil, tetapi dengan kuasa Allah Taala, kami mudah masuk, dengan kerjasama polis yang menjaga... nampak saya dia beri laluan dan tarik saya masuk ke dalam kawasan Raudhah," katanya.

Guru Tahfiz itu turut berpesan kepada jemaah haji Malaysia supaya membuat persiapan secukupnya kerana perjalanan ibadat mereka di Tanah Suci banyak cabaran dari segi fizikal dan mental.

"Saya juga ingin mencadangkan kepada Tabung Haji supaya golongan kurang upaya diberikan pengiring sukarelawan ketika berada di Tanah Suci jika mereka tidak diiringi sanak saudara," katanya.

Beliau juga memuji kecekapan pengurusan Tabung Haji dan meminta jemaah haji lain agar bersyukur dengan apa yang diberikan kerajaan dan Tabung Haji serta bersabar jika menempuh kesulitan, kerana niat untuk beribadat harus menjadi keutamaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain