suria

SPRM Menyerlah Di Persada Antarabangsa

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dipilih untuk membantu meningkatkan kapasiti dan keupayaan Biro Anti-Rasuah Vietnam dalam memerangi gejala rasuah.

SPRM menjadi pilihan kerajaan Vietnam kerana ia dilihat sebagai entiti pembanterasan rasuah yang efektif.

Kedua-dua pihak hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama yang mencakupi latihan profesional, pertukaran kepakaran, bantuan teknikal dalam operasi pengesanan dan pencegahan rasuah selain membangunkan sumber manusia.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed dan Ketua Inspektorat Kerajaan Vietnam Tran Van Truyen pada majlis yang berlangsung di Ibu pejabat SPRM di sini, pada hari Jumaat.

PENGIKTIRAFAN BERTERUSAN BAGI SPRM

Menurut jurucakap Bahagian Komunikasi Korporat SPRM, sejak tahun 2000, SPRM yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR), menerima pengiktirafan melalui jalinan kerjasama dengan agensi-agensi yang mempunyai peranan sama di Hong Kong, Brunei, Indonesia, Thailand, Fiji, Timor Leste, Ghana, Mesir dan Kyrgyzstan.

Pengiktirafan serantau dan antarabangsa bagi SPRM juga dapat dilihat daripada keanggotaannya dalam pelbagai pertubuhan antarabangsa termasuk Asia Pacific Group on Money Laundering, Interpol Group of Experts on Corruption, APEC Anti Corruption and Transparency Task Force dan International Association of Anti Corruption Authorities (IAACA).

"SPRM telah memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa sehingga agensi pencegahan rasuah negara lain berminat untuk berkongsi idea dan pengalaman," kata jurucakap itu lagi.

SUMBANGAN SPR BAGI RAKAN MEMBANGUN

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas majlis memeterai MoU itu, Tran berkata Malaysia merupakan model yang baik untuk dicontohi dan mempunyai banyak pengalaman dan kepakaran yang boleh dicontohi oleh negaranya.

"Komitmen kerajaan Vietnam ialah untuk meningkatkan usaha memerangi rasuah di Vietnam dan oleh sebab itu kami diberi kebenaran oleh Perdana Menteri Vietnam untuk belajar daripada rakan kami.

"Kami perlu belajar daripada pengalaman dan kepakaran pelbagai negara, dan Malaysia merupakan model baik untuk dicontohi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain