suria

Penduduk Sarawak Suka Dengan Najib

KUCHING: Sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Sarawak pada bulan lepas, penduduk di dua perkampungan Iban di kawasan pedalaman negeri ini begitu gembira.

Nanga Ngemah dan Nanga Jagau yang terletak di Kawasan Markas Keselamatan Rejang (Rascom), merupakan dua kawasan penempatan semula yang diasaskan pada 1972 oleh Tun Abdul Razak Hussein, bapa kepada Najib, dan juga Perdana Menteri kedua, untuk melindungi penduduk tempatan daripada ancaman pengganas komunis.

"Bagaimanapun penduduk Nanga Ngemah dan Nanga Jagau telah menunggu selama 38 tahun bagi jalan yang menghubungkan kedua-dua kawasan penempatan ini," kata Thomas yang berasal dari Nanga Jagau, kawasan penempatan paling terpencil di sini.

Thomas, seorang kakitangan kerajaan, berharap kerajaan akan mempercepat kesemua projek yang bernilai RM35 juta seperti yang diumumkan oleh Najib semasa lawatan itu.

Jalan baru ini akan dapat mengurangkan lagi masa perjalanan sehala sekarang ini yang memerlukan masa empat jam, dan yang lebih penting akan membantu penduduk kampung menjimatkan kos minyak yang boleh mencapai RM360 bagi perjalanan pergi dan balik, tambah beliau.

SEDIA DENGAR PERMASALAHAN RAKYAT

Ramai di situ masih ingat akan lawatan Tun Abdul Razak ke rumah panjang Rumah Dadom di Nanga Bugau di Sungai Kajah, Kanowit, pada awal 1972.

Conny Banji, seorang wartawan dengan sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris, yang berasal dari Nanga Ngungun, satu daripada empat kawasan utama penempatan semula Rascom.

Conny berkata, Najib melawat bukan sahaja bandar raya dan bandar semasa lawatan "turun padang" beliau, tetapi juga pekan-pekan kecil dan kawasan terpencil.

"Perdana Menteri banyak memberi perhatian kepada kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak dan ini merupakan satu perkembangan yang baik.

"Beliau dapat dengar terus daripada penduduk luar bandar akan masalah dan harapan mereka. Diharapkan, beliau akan mencari jalan untuk menyelesaikan beberapa daripada masalah ini, termasuk perkenalkan projek-projek sesuai penggunaan tanah seperti di kawasan penempatan Rascom untuk menjana peluang pekerjaan yang mencukupi serta pendapatan bagi rakyat," tambah beliau.

Sebagai Perdana Menteri, Najib boleh melakukan banyak untuk membantu penduduk luar bandar menambahbaik kualiti kehidupan mereka, tambah beliau.

SAMBUTAN BAIK BAGI PEMIMPIN DISEGANI

Dalam lawatan-lawatan beliau, tidak kira di pelosok mana negeri ini, Najib disambut mesra.

"Beliau mudah didampingi dan sangat mesra. Ini kali pertama saya melihat seorang Perdana Menteri yang sanggup menjelajah Sabah dan Sarawak tanpa banyak protokol," kata Jerome Roni, seorang warga Sabah yang mendirikan rumah tangga dengan seorang gadis tempatan.

Jerome, seorang penolong jurutera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, melihat kunjungan Najib sebagai memperlihatkan komitmen beliau akan konsep 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Bagi Sam Bayang, juga seorang kakitangan awam, penubuhan badan Bumiputera untuk menangani isu-isu berkaitan Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang dicadangkan oleh Najib di bawah program Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) adalah tepat pada masanya.

Sam berkata Sarawak masih ketinggalan terutama daripada segi infrastruktur luar bandar, walaupun 47 tahun selepas kemerdekaan.

"Saya rasa pendekatan dalam mendekati rakyat daripada semua lapisan masyarakat melalui lawatan berjalan kaki juga banyak menunjukkan kehebatan beliau sebagai pemimpin negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain