suria

Rakyat Sabah Rasai Transformasi Pembangunan

KOTA KINABALU: Belum setahun Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk kerajaan, rakyat di Sabah sudah merasai transformasi pembangunan Perdana Menteri ke arah menceriakan kehidupan rakyat di pedalaman.

Banyak perubahan dialami di seluruh pelusuk negeri baik di kampung mahu pun pekan.

Di pantai utara Sabah, penduduk di Kota Belud yang terkenal sebagai "pekan koboi" mengukir senyuman membayangkan nikmat pembangunan yang dirancang iaitu menaik taraf jalan raya ke kampung-kampung dan sekolah-sekolah di luar bandar.

Menurut ketua daerah Kota Belud, OKK Tungking alias Amirshah Kantiong, projek dalam anggaran RM30 juta itu dilaksanakan tidak sampai setahun pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri.

Begitu juga dengan program agropolitan untuk membasmi kemiskinan, menjana ekonomi petani melalui jelapang padi di Kota Belud dan projek bekalan elektrik luar bandar.

"Melalui program turun padang dan Juara Rakyat yang dianjurkan Perdana Menteri menggerakkan semua wakil rakyat dan pemimpin masyarakat untuk mengenalpasti permasalahan di peringkat akar umbi," kata Tungkin.

KEMUDAHAN DI KAMPUNG

Pembangunan paling bermakna oleh kerajaan bagi nelayan di pantai timur Sabah seperti Hamis Mingkilan, 65, dari Kampung Indrasabah di Tawau, ialah apabila beroleh jalan berturap di kampung mereka selepas berpuluh-puluh tahun menunggu.

Jalan berturap itu memudahkan penduduk kampung memasarkan keluaran mereka sama ada yang berupa hasil laut seperti ikan bilis dan ikan kepada pelanggan atau menghantar hasil pertanian seperti kelapa sawit ke kilang untuk diproses.

Dulu, kata Hamis, banyak kenderaan terkandas akibat tayar terbenam dalam lumpur semasa hujan apabila melalui jalan merah sepanjang 12 kilometer di kampung itu yang dibuka oleh neneknya selepas penjajahan Jepun.

"Kereta saya sendiri pernah tersangkut di dalam lumpur pada waktu malam semasa balik dari bandar bersama isteri saya. Saya terpaksa meninggalkan sahaja kereta saya di situ dan datang pada sebelah paginya untuk mengeluarkannya dari lumpur," katanya kepada Bernama.

Kampung itu dinamakan Indrasasabah mengambil sempena nama nenek beliau, Saadullah yang beretnik Suluk dan seorang rakannya keturunan Tidung, bernama Indal.

Hamis berharap kampung yang sudah dilengkapi dengan bekalan elektrik, sekolah, masjid dan banyak lagi, akan turut dibekalkan dengan kemudahan bekalan air bersih kerana air amat sukar di kawasan berkenaan jika tidak hujan.

Seorang lagi penduduk kampung itu Jamal Abdul Sani, 20, pula berkata sebelum jalan berkenaan berturap mereka yang berulang alik ke bandar bukan sahaja baju kotor malah rambut juga kerana terkena debu jalan lebih-lebih lagi pada musim tiada hujan.

"Dahulu, untuk sampai ke kampung, kita perlukan kira-kira hampir sejam dari bulatan pekan Balung. Kini kita boleh sampai ke kampung kurang daripada 20 minit," katanya.

PENGHARGAAN

Pendekatan Najib untuk turun padang yang menjadi teras perkhidmatan untuk rakyat turut menyemarakkan semangat pemimpin kerajaan negeri Sabah dan juga wakil-wakil rakyat untuk mencontohinya.

Kaum nelayan di beberapa pulau di kawasan Parlimen Batu Sapi di Sandakan kini mempunyai lampu sistem solar yang memudahkan mereka pulang pada waktu malam daripada mencari rezeki dan menjamin keselamatan penduduk kampung yang menggunakan jeti nelayan.

Ia hasil inisiatif anggota parlimen Batu Sapi Datuk Edmund Chong Ket yang menggunakan RM200,000 daripada peruntukan Parlimen Batu Sapi bagi membiayai kos sistem itu di 15 jeti.

Setakat ini, lima jeti sudah dipasang dengan lampu solar itu dan apabila semuanya siap nanti, kira-kira 1,000 nelayan akan menerima manfaatnya.

Jamil Ismail, seorang nelayan di Pulau Tronglit, berkata dengan ini, nelayan dapat memunggah hasil tangkapan ikan di jeti pada waktu malam berbanding sebelum ini melakukannya dalam suasana yang gelap.

Seorang suri rumah Suraya Otoh, 26, berkata lampu dari sistem solar itu menerangi beberapa rumah penduduk kampung yang berhampiran jeti dan mereka tidak perlu memasang lampu menggunakan kuasa elektrik dari set generator.

Seorang lagi pekerja swasta, Francis Junior Chu yang berasal dari Penampang, berkata beliau melihat kerajaan pusat yang dipimpin Najib makin memberikan banyak pertimbangan dan penekanan terhadap isu-isu berhubung negeri Sabah dan Sarawak.

"Mungkin sebab Sabah dan Sarawak membawa kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lepas... Jadi Najib ingin melihat negeri-negeri ini membangun sama tahapnya dengan negeri-negeri lain di Semenanjung," katanya.

Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo) Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak berkata setahun pertama kepimpinan Najib, banyak kejayaan yang dicatatkan termasuk meletakkan semula ekonomi negara ke landasan lebih stabil.

"Dalam konteks negeri Sabah, usaha dan pendekatan yang dilaksanakan kerajaan pusat nyata memanfaatkan rakyat seperti pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang membawa anjakan perubahan kepada rakyat," tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain