suria

Minum Teh Dengan Perdana Menteri

PUTRAJAYA: "Kepada rakan-rakan FB saya, teruskan menjadi sahabat saya di masa depan."

Mesej ringkas ini, daripada Perdana Menteri, disampaikan kepada 300 rakan Facebook beliau yang dijemput menghadiri majlis jamuan teh di kediaman rasminya di Sri Perdana, Putrajaya pada 13 Mac lalu.

Saya merupakan antara warga Malaysia yang bernasib baik sehingga dibenarkan untuk memandu masuk ke perkarangan kediaman rasmi Perdana Menteri di Precint 10.

Walaupun hujan turun renyai-renyai pada petang itu dan berlaku kesesakan lalu lintas, tiada siapa daripada kami yang mahu melepaskan peluang untuk bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

PETANG YANG SUKAR DILUPAKAN

"Saya teruja sangat. Hinggakan lupa hendak bawa kad nama saya. Saya tidak dapat tumpukan perhatian pada apa-apa selain majlis ini," kata Mahathir Mohd Tahir dari Kuala Lumpur semasa mengambil tempat duduk di Meja 5, satu meja dengan saya.

Faizah Abu Bakar, juga dari Lembah Klang, hadir dengan harapan dapat berinteraksi dengan rakan-rakan FB laman web 1Malaysia yang lain, ruangan yang dimulakan Perdana Menteri sendiri untuk mengikuti pendapat dan masalah yang dikemukakan orang ramai.

"Saya sudah sediakan segalanya di dalam beg saya ini. Ini satu peluang yang tidak akan saya lupakan, dan saya akan mengambil banyak gambar sebagai simpanan dan kenangan sepanjang hayat," kata Faizah.

Beliau memegang sebuah beg tangan hijau muda berjenama Channel yang sedondon dengan pakaiannya berwarna hijau, dari tudung hinggalah ke kasut.

Semua tetamu datang dengan berpakaian cantik dan bergaya. Ada juga yang datang dengan pakaian kebangsaan, selesa dan berwarna-warni.

MEMBAWA KENANGAN MANIS

Lim Yoke Lin, memilih untuk berkebaya hitam dan berkain batik. Bekas atlet negara ini, kini merupakan pensyarah sains sukan di sebuah universiti tempatan.

"Pemimpin-pemimpin perlu turun padang untuk bersama rakyat, bertemu rakyat," kata Lim yang kini dalam lingkungan usia 40-an dan datang ke majlis itu dengan satu lagi misi.

Lim merupakan penerima pertama biasiswa sukan persekutuan pada 1987 yang membolehkan beliau melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat. Najib pada masa itu merupakan Menteri Belia dan Sukan.

Lim dengan sabar menunggu giliran beliau untuk bertemu dengan Najib yang berkunjung dari meja ke meja untuk beramah mesra dengan hadirin.

Bersama keratan akhbar di satu tangan, beliau berjabat tangan dengan Najib untuk sekali lagi mengucapkan terima kasih kepadanya kerana memberi peluang kepada beliau melanjutkan pengajian sehingga menjadi orang berjaya kini.

Dengan senyuman, Perdana Menteri menurunkan tandatangannya pada keratan akhbar itu.

TERIMA KASIH DARIPADA PERDANA MENTERI

Tetamu undangan pada majlis ini ialah warga Malaysia dari semua peringkat umur dengan 80 peratus daripada mereka berumur bawah 40 tahun.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa pemilihan itu diputuskan kerana golongan bawah 40 tahun lebih aktif menggunakan Internet.

Sambil ketawa kecil, Najib memberitahu hadirin: "Saya sebenarnya baru melepasi 40,..."

Majlis gamat dengan gelak ketawa hadirin, kerana pertama kali bagi kebanyakan kami menyaksikan sikap lucu Perdana Menteri.

Sesi dua jam itu berakhir dengan cepat dan Perdana Menteri bergambar berkumpulan dengan kami semua dan beliau juga tidak menolak permintaan untuk bergambar secara individu dan menandatangan autograf.

Seminggu selepas pertemuan itu, beliau menghantar nota terima kasih menerusi e-mel kepada rakan-rakan FB beliau kerana meluangkan masa menghadiri majlis jamuan teh itu.

Saya terharu dan pasti hadirin lain juga mengalami perasaan yang sama, Perdana Menteri membuatkan kami merasa penting dan dihargai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain