suria

Syria menggamit rakyat Malaysia

KETIKA sekumpulan pelawat dari Malaysia menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik baru-baru ini, cuaca tengah hari terasa sejuk memandangkan Syria sedang mengalami musim dingin. Kumpulan pelawat berkenaan, yang berada di Syria untuk pelancaran sebuah model baru kereta buatan Malaysia, Proton Persona, dapat melihat dengan jelas kerja-kerja pengubahsuaian yang ketara di lapangan terbang itu, yang berperanan sebagai pusat transit ke negara-negara Asia Barat, Eropah dan utara Afrika.

Terima kasih kepada hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Syria, yang membuka laluan kepada beberapa syarikat Malaysia untuk merebut peluang di Syria dengan Muhibbah Engineering (M) Bhd syarikat yang menerima satu kontrak bernilai RM196 juta untuk memulih dan menaiktaraf bangunan terminal penumpang, jalan raya, tempat letak kereta dan apron bagi kapal terbang satu contoh tipikal.

Syria lazimnya dilihat sebagai ekonomi yang sedang muncul dengan banyak peluang walaupun dengan sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, kata seorang petugas hotel warga Malaysia, Julian Crane.

"Kita kini mula menyaksikan semakin ramai warga Malaysia, khasnya daripada sektor perniagaan, datang ke Syria dan terdapat minat di kalangan penduduk Syria untuk melancong ke Malaysia. Ini sesuatu yang menggalakkan", kata beliau semasa ditemui Bernama di sini.

Syria sepatutnya menjadi tumpuan kempen pelancongan Malaysia

Sebagai pengarah pemasaran Four Seasons Hotel di sini sejak dua tahun yang lepas, Julian anak kelahiran Sarawak berkata, sesiapa yang mahu menggalakkan pelancongan di Sarawak atau Semenanjung harus menimbangkan Syria sebagai sebahagian daripada fokus mereka melampaui pasaran tradisional seperti Dubai dan Abu Dhabi.

Julian, yang minat menggembara, memulakan kerjayanya di sebuah rantaian hotel lima bintang di Kuala Lumpur dan telah merantau ke pelbagai tempat di seluruh dunia sejak 15 tahun yang lepas, mengakui bahawa pelancaran model kereta Proton di venue Four Seasons Hotel "menyentuh sanubarinya".

Dalam minda penduduk bandaraya Damsyik, bandaraya yang paling lama pernah didiami, Malaysia sinonim dengan Proton hasil daripada sumbangan tidak ternilai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadikan kenderaan itu jenama sebutan ramai di negara dengan 19 juta penduduk itu.

Syria yakin dengan Malaysia

Keyakinan yang diutarakan oleh ahli perniagaan Syria, Ghyath Al Habbal, bahawa pelaburannya, termasuk hak pengedaran eksklusif bagi kereta Proton di Syria dan negara-negara yang berjiran dengannya Iraq dan Lebanon, berada di tangan yang selamat dan ini satu lagi petanda akan kepentingan bersama.

"Kami akrab dengan Malaysia, yang juga rakan strategik Syria, dan oleh itu kami sedang berusaha membina imej jenama Proton di negara kami", kata Habbal, yang juga pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Habbal Group.

Skop hubungan dua hala dan bidang-bidang baru kerjasama dipereratkan lagi dengan lawatan Perdana Menteri Syria, Mohammed Naji Otri ke Malaysia pada Januari lepas.

Budaya bertenaga dan kaya

Sementara itu, bagi ekspatriat Vicky Murris, yang juga berasal dari Sarawak, pemandangan dan suasana empat musim memukaunya apabila beliau berpindah ke Damsyik, bersama suaminya seorang warga Belanda yang bertugas sebagai ketua jurutera bersama Syrian Petroleum Company (SPC).

Anda hanya perlu keluar bersiar-siar di bazar paling terkenal di Damsyik, Hamidiyeh Souq, untuk mengesahkan pengamatan beliau akan gaya hidup penduduk tempatan yang bersemangat dan warnawarni budaya mereka.

Inilah tempat untuk membeli rempah ratus, hijab tradisional, kopiah dengan corak berpetak-petak, permaidani dan barang-barang luar biasa, perhiasan kecil dan aiskrim bandaraya ini yang disaluti dengan kekacang 'pistachios' yang terkenal di seluruh dunia.

Kali terakhir dibina pada abad ke-13, bazar ini berada di sebuah kubu silam Rom sepanjang 500 meter dari timur ke barat dan berakhir di bawah sebuah gerbang Rom betul-betul di hadapan Masjid Ummaiyah yang indah dan mengagumkan, yang dikatakan sebagai antara senibina Islam yang paling indah.

Golongan alim dan pelancong kelihatan melihat barang-barang keagamaan yang dijual di sepanjang lorong yang sempit menghala ke masjid itu, yang disiapkan pada 715 Masihi selepas pejuang Islam menakluki Damsyik, dengan sebuah dewan sembahyang, taman yang luas dan beratus-ratus buah bilik bagi jemaah yang datang melawat dan tiga buah menara yang mengagumkan.

Selain daripada menempatkan makam Saladin, pejuang Islam abad ke-12 yang nama sebenarnya ialah Salah alDin Yusuf ibn Ayyub yang mengetuai perang salib dengan jayanya, ia juga menempatkan sebuah tokong kecil yang dikatakan mengandungi peninggalan St.John the Baptist, (Nabi Yahya) yang diiktiraf sebagai nabi oleh orang Kristian dan Islam.

Sebuah negara yang kaya dengan sejarah

Kira-kira 350 km ke utara Damsyik ialah bandaraya bersejarah Allepo yang terkenal dengan kubu-kubu silamnya, sebuah lagi masjid Ummaiyah yang dikenali sebagai 'Ummayad mosque of Aleppo', dan satu lagi bazar luar biasa dengan pelbagai barangan unik untuk jualan, termasuk sabun yang diperbuat daripada minyak zaitun yang juga dikenali sebagai "sabun" dalam bahasa Arab.

Aleppo masih merupakan pusat perdagangan hebat yang terletak jauh dengan Shakespeare menyatakannya dalam karya-karya agungnya, "Macbeth" dan "Othello" sebagai pemandangan senibina ketenteraan, dengan menara-menara kawalan dan dinding serta tembok pelindung yang mengagumkan.

Pada 1999, Amanah Aga Khan bagi Budaya, dengan kerjasama Direktorat Am Antikuiti dan Muzium Syria memulakan usaha pemuliharaan secara bersama untuk memulihkan monumen dan kubu silam merentasi seluruh Syria yang boleh menjadi pemangkin bagi pertumbuhan sosial dan ekonomi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Gelap dalam terang di Perak

Artikel Berikut

Artikel Lain