suria

Wawasan FAMA dalam melahirkan usahawan pertanian

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengenalpasti tujuh aktiviti niaga tani yang diharap dapat melatih siswazah menganggur menjadi usahawan industri pertanian yang berjaya.

Aktiviti berkenaan yang diletakkan di bawah Program Pembangunan Usahawan Siswazah (PPUS) dilancarkan oleh Pengerusi FAMA, Datuk Badaruddin Amiruldin baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Sahbani Saimin berkata, bagi pembangunan, aktiviti ini melibatkan peserta pasar tani, vendor buah-buahan segar, pembekal hasil ladang segar, pengedar barangan makanan yang telah diproses, pembekal hasil ternakan, penyedia khidmat menulis laporan, menterjemah dan menyunting dan sebagai promoter jualan bagi produk yang berasaskan kepada pertanian.

"PPUS, yang terbuka kepada semua warga Malaysia dari institusi pengajian tempatan dan asing, disedia untuk menawarkan kepada siswazah menganggur peluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti niaga tani terpilih dalam usaha mengurangkan pengangguran dan membangunkan kemahiran keusahawanan", kata Sahbani dalam satu temubual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.

"Menawarkan peluang kepada usahawan pertanian untuk memasar dan mempromosi produk mereka secara langsung kepada pengguna sentiasa merupakan keutamaan FAMA", jelas Sahbani.

"Kami menjalankan kursus serta program untuk sesiapa sahaja yang mahu menceburi niaga tani. Lagipun, kini terdapat 1,270 peniaga tani siswazah yang berniaga di pasarpasar tani seluruh negara. Tetapi kali ini, FAMA mengambil usaha komprehensif yang disasarkan khusus kepada siswazah menganggur", tambah Sahbani.

Pendapatan lumayan Pasar-pasar tani menawarkan persekitaran niaga yang unik serta menarik.

Dikendalikan di kawasan terbuka, ia menawarkan wadah yang mudah bagi pengeluar dan pengguna dan popular di kawasan bandar di mana kuasa membeli lazimnya lebih tinggi.

Terdapat 298 tapak mingguan bagi pasar tani di seluruh negara, dengan 80 lagi pasar tani baru dijangka dibuka pada 2009.

Perniagaan pasar tani mencatatkan pulangan berjumlah RM285.75 juta bagi 12,637 peserta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Mengenai perolehan bulanan setiap usahawan itu, 3,791 mencatatkan pendapatan bulanan antara RM1,500 dan RM3,000 sementara 7,582 lagi termasuk usahawan siswazah berpendapatan antara RM3,000 dan RM5,000 sebulan.

Bagi mereka yang lebih inovatif, menjalankan perniagaan di pasar tani boleh membawa pulangan lumayan seperti yang dibuktikan oleh 1,264 peserta yang berpendapatan lebih daripada RM5,000 sebulan.

"Pertanian merupakan perniagaan, jadi tiada had sejauh mana seseorang itu boleh maju. Kami berharap dengan sikap yang membina serta komitmen baik selain bantuan dan pendedahan kepada pasaran, sebahagian daripada usahawan tani siswazah ini akan menempuh kejayaan dan akhirnya muncul sebagai pengeksport produk berasaskan pertanian", kata Shahbani. Produk, khidmat dan lokasi Di bawah PPUS, FAMA yang menentukan apa, dalam bentuk apa dan di mana produk boleh dijual.

Para peserta pasar tani mempunyai pilihan 21 produk untuk dijual di 55 lokasi terpilih di seluruh negara, sementara vendor buah-buahan segar mempunyai 15 jenis buah-buahan tempatan untuk dipilih dan dijual di 11 lokasi pasaran di Semenanjung.

Mereka yang berminat membekalkan hasil ladang yang segar, pusat-pusat perolehan FAMA di 10 lokasi di beberapa negeri di Semenanjung akan menerima 14 jenis sayur-sayuran segar serta komoditi ladang yang lain, yang telah ditimbang, digred dan dibungkus mengikut spesifikasi.

Para pengedar produk makanan yang telah diproses boleh mengedarkan produk berasaskan pertanian di bawah jenama FAMA Agromas dan Olemas di Kshops, Agrobazaars, pasar tani, pasar malam dan pasar harian.

Pusat-pusat perolehan FAMA itu juga akan menerima daging yang telah digred seperti daging ayam, lembu dan puyuh selain telur dan hasil akuakultur seperti ikan keli, tilapia dan patin dalam kuantiti tertentu setiap bulan.

Siswazah yang tidak berminat untuk berniaga masih berpeluang menyertai PPUS dengan menawarkan diri bagi kerja menulis dan menterjemah pelbagai laporan mengenai pengeluaran dan penggunaan, prestasi pasaran dan indeks harga, termasuk menulis rencana adhoc yang disumber luar oleh FAMA. Selain itu, mereka boleh bertindak sebagai promoter jualan bagi produk asas tani pada pameran perdagangan dan konvensyen yang berlangsung hingga dua minggu dan boleh menerima bayaran RM50 sehari.

Latihan

Latihan merupakan elemen penting dalam pembangunan keusahawanan. Ke arah ini, FAMA akan menjalankan pelbagai kursus induksi pada Disember ini untuk memberi taklimat kepada pemohon mengenai garis panduan dan prosedur program ini.

Ini akan disusuli oleh program latihan yang komprehensif dalam bidang niaga tani yang menjadi piihan mereka.

"Kami akan menampilkan usahawan tani yang berjaya untuk menceritakan pengalaman mereka dan membawa pelatih melawat perusahaan niaga tani yang telah berjaya", jelas Shahbani.

"Kemudian, bagi satu bayaran nominal, FAMA akan membantu mereka mendapatkan segala yang diperlukan, daripada khidmat nasihat percuma hinggalah untuk memulakan perniagaan", kata Shahbani.

"Apa yang kami minta ialah perhatian dan komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi untuk menjayakan program itu", tambah Shahbani.

FAMA telah melakukan segala yang boleh bagi membantu siswazah yang menganggur dan selebihnya mereka perlu tampil dan merebut peluang ini.

Bagaimanapun, mereka nampaknya tidak begitu berminat. Sehingga hari ini, hanya 21 siswazah telah mengemukakan permohonan mereka untuk menyertai program ini.

"Mungkin kebanyakan daripada siswazah masih memilih pendapatan bulanan yang tetap dan kerja di pejabat", ulas Shahbani.

"Bagaimanapun, FAMA akan melatih mereka yang telah memohon supaya dapat membuka mata rakan-rakan mereka apabila perniagaan mereka berjaya", tambah Shahbani.

Nampaknya masih ramai siswazah masih mahu mengelakkan kerja-kerja yang mengotorkan tangan dengan ramai yang tidak mahu bekerja dalam bidang yang tidak disukai mereka.

Bagaimanapun, sekarang ini ijazah tidak lagi menjanjikan pekerjaan. Para siswazah perlu menerima realiti bahawa peluang pekerjaan bagi mereka tidak lagi terjamin selepas menamatkan penggajian.

Sekarang, mereka perlu keluar mewujudkan peluang pekerjaan mereka sendiri. BERNAMA

Artikel Berikut

ISA kekal walau dikecam hebat

Artikel Lain