suria

Negara Memerlukan Kolej Kejururawatan Bertaraf Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Kini terdapat 80,000 jururawat berdaftar berkhidmat di seluruh Malaysia sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.

Permintaan terhadap jururawat telah meningkat dengan kadar yang agak mendadak dalam beberapa tahun yang lepas susulan daripada perkembangan dalam sektor penjagaan kesihatan di negara ini termasuklah peningkatan jumlah hospital serta pusat perubatan swasta yang baru seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Bagaimanapun para aktivis dalam profesion ini menyeru agar kerajaan menubuhkan satu universiti antarabangsa bagi meningkatkan tahap profesionalisme dalam kerjaya ini.

Para aktivis ini menjelaskan bahawa hospital berkenaan hendaklah sebagai satu institusi pakar dalam bidang kejururawatan.

KECEMERLANGAN AKADEMIK

Seorang ahli Lembaga Jururawat Malaysia (yang enggan namanya disiarkan) berkata, kewujudan universiti ini akan membantu dengan positif sekali perkembangan dari segi kecemerlangan akademik selain daripada keupayaan professional dalam bidang kejururawatan.

"Sebuah universiti kejururawatan akan berupaya menawarkan pembelajaran komprehensif serta lengkap bagi kursus jururawat dan ini dapat dilakukan secara berpusat.

"Universiti ini (jika ditubuhkan) akan didampingkan bersama sebuah hospital pengajar bagi keperluan sesi pengajaran serta kelas klinikal yang memerlukan pengajaran di wad pesakit," kata beliau sambil menambah universiti itu juga akan membuat pengambilan pelajar dari luar negara.

Secara tidak langsung ini adalah juga baik untuk tukaran wang asing dan ekonomi negara, kata beliau.

"Kakitangan akademik universiti (kejururawatan) ini semuanya adalah dari kalangan jururawat dan universiti ini menawarkan semua kursus dalam bidang kejurawatan termasuk program kepakaran.

"Para profesor, profesor madya, pensyarah dan tutor adalah dari kalangan jururawat yang terlatih secara profesional," jelas beliau berhubung impian penubuhan universiti untuk jururawat.

PROFESIONAL TERLATIH

Seorang jururawat kanan, Zuraida Samad, berkata: "Pada masa dahulu, masyarakat mempunyai pengertian bahawa tugas jururawat hanyalah sekadar untuk memberi makan dan membersihkan pesakit di hospital.

"Kini masyarakat telah mula sedar bahawa jururawat juga perlu membuat diagnosa kejurawatan. Ini satu perkara berbeza dari diagnosa perubatan yang dilakukan oleh doktor," jelas beliau ketika ditemui di sebuah hospital awam di sini.

Menurut Zuraida lagi, jururawat adalah seorang profesonal terlatih yang tahu apa yang perlu dibuat jika pesakit tiba-tiba mengalami masalah semasa ketiadaan doktor dalam wad.

Katanya lagi, kejururawatan memberi fokus terhadap penjagaan, pengajaran serta kajian dalam aspek sistem penjagaan kesihatan.

Bidang kejururawatan sentiasa memberi keutamaan dalam rawatan, kata beliau sambil menambah: "Bagi mereka yang memilih kejururawatan sebagai kerjaya, mereka adalah dari kalangan individu yang mempunyai dedikasi dan rasa terpanggil untuk membantu orang yang sakit selain daripada membantu pesakit pulih dari masalah kesihatan.

KUALITI UNIK

Pengajar kursus jururawat Beatrice Wong pula berkata, bidang itu kini berbeza bila dibandingkan dengan masa yang lampau.

"Latihan jururawat memberi fokus terhadap membina kualiti yang unik di mana jururawat bertindak menyayangi selain mempunyai disiplin dan dilengkapi dengan kebolehan berfikir secara kritikal.

"Kejururawatan juga mengajar bagaimana menggunakan minda, tangan dan perasaan bagi membantu mereka pada saat yang memerlukan," katanya sambil menambah bahawa wujudnya permintaan yang besar terhadap jururawat di negara ini.

Katanya, unjuran keperluan itu adalah Malaysia memerlukan 130,000 jururawat terlatih menjelang tahun 2020 bagi mencapai nisbah jururawat kepada penduduk sebanyak 1:200 seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Nisbah di Malaysia pada masa kini ialah 1:645 dibandingkan dengan 1:203 bagi Singapura dan 1:134 di Jepun.

LEMBAGA JURURAWAT

Bagi seorang jururawat berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia, beliau perlu mempunyai keluluan minimum tiga kredit dalam SPM dengan kredit dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Sains dan satu lagi subjek seperti Matematik dan Bahasa Inggeris.

Calon juga perlu lulus Peperiksaan Lembaga yang terkandung dalam peperiksaan akhir di penghujung program diploma tiga tahun latihan kejururawatan selain mempunyai minimum 48 minggu latihan praktikal di hospital.

Kolej Kejururawatan yang ditubuhkan di Hospital Assunta pada tahun 1961 adalah kolej latihan kejururawatan pertama swasta.

Pada tahun 1991, Kolej Kejururawatan Puteri adalah kolej kejururawatan swasta pertama yang melaksanakan Program Diploma Kejururawatan Kementerian Kesihatan yang mana kemudian diikuti oleh kejururawatan swasta yang lain pada tahun berikutnya.

Buat masa ini kolej kejururawatan terbesar di Malaysia adalah Kolej Kejururawatan MasterSkill di mana pengambilannya mencecah 1,000 pelajar setahun.- BERNAMA

Artikel Lain