suria

Baucer Buku RM200 Boleh Digunakan Dalam Pengajian Tahun Depan

KOTA BARU: Baucer buku bernilai RM200 untuk penuntut institusi Pengajian tinggi, yang diumumkan dalam Belanjawan 2012, boleh mula digunakan pada awal pengajian tahun depan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Ab Rahim Md Noor.

Beliau berkata mekanisme untuk menentukan kaedah menukarkan baucer dengan buku untuk dimanfaatkan penuntut akan diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin tidak lama lagi.

Kira-kira 1.2 juta pelajar akan menikmati kemudahan itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program Kita Cakna Kerjaya Kolej Komuniti Malaysia 2011 di sini, malam Sabtu.

Turut hadir Ketua Pengarah Kolej Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Malaysia, Prof Madya Kamarudin Kasim.

Ab Rahim berkata langkah kerajaan memberi peruntukan tambahan kepada penuntut membuktikan kerajaan prihatin terhadap masa depan bidang pendidikan negara untuk melahirkan modal insan yang berkualiti.

Dalam Belanjawan 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian baucer buku RM200 kepada semua penuntut warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, matrikulasi dan pelajar Tingkatan Enam.

Terdahulu, dalam ucapannya Abd Rahim berkata Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi adalah bertujuan untuk menggalak dan memantapkan pembangunan keusahawanan yang lebih terancang dan holistik di kalangan IPT.

"Ini selaras dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai pemikiran, atribut dan nilai keusahawanan.

"Dasar ini juga adalah usaha kementerian bagi melahirkan lebih ramai lagi usahawan siswazah yang akan bertindak sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan berpaksikan inovasi ke arah pencapaian negara maju menjelang tahun 2020," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain