suria

Kampus Baru UiTM Di Raub

RAUB: Sebuah lagi kampus cawangan Universiti Institut Teknologi Mara (Uitm) akan dibina di Raub, Pahang.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Dong Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata kerajaan telah meluluskan pembinaan kampus cawangan Uitm itu baru-baru ini, menjadikan ianya kampus yang kedua yang dibina di Pahang selepas Uitm cawangan Bandar Jengka.

"Kampus berharga RM300 juta itu akan dibina di satu kawasan seluas lebih 100 hektar di Batu Satu, Jalan Raub-Bentong," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan duit hari raya kepada peneroka Felda Krau, Felda Tersang 1, 2 dan 3 dan Felda Lembah Klau, di sini.

Beliau berkata reka bentuk bangunan kampus itu akan disiapkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tender akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat ini.

"Apabila siap, seramai 3,500 pelajar akan diambil belajar di kampus cawangan itu sebagai permulaan," katanya.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Raub berkata pembinaan kampus tersebut akan memberi peluang pembelajaran yang lebih luas kepada pelajar negeri ini khasnya di kawasan Pahang Barat.

"Ia secara tidak langsung akan menjana ekonomi penduduk setempat apabila ia beroperasi nanti," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain