suria

Pairin Umum Kolej KDM Akan Dibina Di Tambunan

TAMBUNAN: Kolej Kadazandusun Murut atau Kolej KDM akan dibuna di kawasan Kaingaran, di sini, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau berkata pegawai Daerah Tambunan telah diarah untuk mengenalpasti lokasi sebenar pembinaan kolej itu.

"Saya sendiri akan buat tindakan susulan (follow-up) perkara ini dengan pihak yang berwajib untuk memastikan cadangan penubuhan Kolej KDM ini dapat direalisasikan," katanya yang juga pemimpin Agung Kadazandusun Huguan Siou.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Kaamatan peringkat derah Tambunan di sini Sabtu.

Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun dan Murut (Pekadin) sebelum ini mencadangkan penubuhan Kolej KDM di Sabah untuk membantu menyerlahkan peranan masyarakat Kadazandusun dan Murut dalam pendidikan seiring dengan negara untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Terdahulu, Persatuan kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) menggesa kerajaan agar mengiktiraf Huguan Siou dengan mewujudkan Huguan Siou sebagai sebuah institusi yang diperakui kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Perhubungan KDCA Tambunan, Daniel Kinsik berkata pengwujudan institusi Huguan Siou bukan sahaja mengiktiraf peranan masyarakat Kadazandusun dalam menyumbang kepada pembangunan negara tetapi juga memastikan keterlibatan langsung masyarakat itu. - BERNAMA

Artikel Lain