suria

Sarawak Bakal Miliki Universiti Keenam

SIBU: Sarawak bakal memiliki universiti keenam dengan penaiktarafan Kolej Laila Taib di sini kepada universiti dalam tempoh dua tiga tahun akan datang, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata langkah menaik taraf itu bertujuan untuk menampung keperluan yang semakin bertambah terutama bagi lulusan kejuruteraan dan teknikal selaras dengan pembangunan Koridor Diperbaharui Sarawak (SCORE).

"Daripada 1.6 juta pekerjaan di dalam SCORE sehingga 2030, lebih daripada 52 peratus merupakan pekerjaan kemahiran yang memerlukan pemegang diploma dan ijazah," katanya semasa berucap malam tadi sebagai tetamu kehormat pada majlis sambutan ulang tahun ke-110 pembangunan penempatan masyarakat Cina Foochow di bandar Sibu.

Beliau berkata kerajaan berharap untuk menubuh institusi pengajian tinggi di kawasan lain bagi melahirkan tenaga kerja mahir termasuk dengan bantuan pihak swasta.

Di samping itu Taib menyeru ahli perniagaan daripada masyarakat Foochow untuk membantu dalam pembangunan SCORE.

"Terdapat banyak bidang yang boleh diteroka. Pada peringkat permulaan SCORE memerlukan pelaburan asing, tetapi kemudiannya ia memerlukan rakyat tempatan untuk membangunkannya," katanya.

Beliau berkata sebagai contoh, SCORE menawarkan peluang luas dalam industri hiliran dan sokongan termasuk industri makanan halal dan pelancongan Yang turut hadir pada majlis yang dihadiri 2,000 tetamu itu ialah cucu dan cicit mendiang Wong Nai Siong, iaitu pengasas kepada penempatan tersebut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain