suria

KPT Pertimbang Permohonan UUM Diiktiraf Sekolah Perniagaan Terulung Malaysia

SINTOK: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mempertimbangkan permohonan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk diiktiraf serta disenaraikan sebagai salah sebuah Sekolah Perniagaan Terulung Malaysia (MTBS).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata permohonan itu akan dipertimbangkan kerana pihaknya tertarik dengan pencapaian Kolej Perniagaan UUM bukan sahaja dari segi penawaran kursus, malah ia mempunyai bilangan pelajar antarabangsa yang ramai.

"Ia juga kini dalam proses untuk mendapat akreditasi dari luar negara, ini satu gambaran bahawa ia berkeyakinan tinggi untuk menjadi Top Business School," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Interaksi Menteri Pengajian Tinggi dengan Pengurusan UUM di sini, Khamis.

Beliau berkata, kementerian juga kini sedang mengkaji untuk menambah jumlah MTBS sedia ada iaitu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sementara itu, katanya hasrat UUM untuk menjadi sebuah Universiti Penyelidikan menjelang 2015 juga adalah sesuatu yang baik kerana setakat ini hanya universiti berasaskan sains dan teknologi sahaja yang mendapat pengiktirafan sedemikian.

"Walaupun tak mungkin bagi universiti tidak berasaskan sains dan teknologi diangkat menjadi Universiti Penyelidikan, namun dalam proses majukan negara, banyak kajian juga perlu dibuat dalam bidang lain seperti Sains Sosial termasuklah pengurusan," kata Mohamed Khaled.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata lima universiti di Mesir telah bersetuju untuk mengubah tarikh akademik mereka bagi membolehkan pelajar Malaysia yang pulang baru-baru ini kembali menduduki peperiksaan di sana.

Katanya, universiti-universiti berkenaan telah bersetuju untuk menangguhkan peperiksaan sehingga pelajar Malaysia pulang dan perkara ini boleh disemak melalui laman web rasmi kementerian.

Mohamed Khaled berkata kementerian kini hanya menunggu keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengisytiharkan keadaan di Mesir benar-benar selamat dan pelajar boleh kembali menyambung pengajian di sana seperti biasa.

Beliau berkata, setakat ini tidak ada keperluan yang membolehkan pelajar Malaysia menduduki peperiksaan di sini kerana keadaan di Mesir telah beransur pulih. - BERNAMA

Artikel Lain